Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

NGO Teoh Beng Hock Trust for Democracy yang menuntut keadilan atas kematian pembantu politik DAP itu hari ini berhimpun di hadapan pintu masuk parlimen di ibu negara.

Disokong oleh NGO hak asasi Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan anggota Pemuda DAP, mereka menggesa kerajaan supaya menahan pegawai yang terlibat dengan kematiannya lima tahun lepas.

Malah, kakak Beng Hock pula menyatakan rasa tidak puas hati apabila ketua pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Anuar Ismail yang dinaikkan pangkat daripada gred 44 semasa insiden kepada gred 48 sekarang.

Bagaimanapun, dua lagi pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan itu iaitu Hishammuddin Hashim dan Mohd Ashraf Mohd Yunus masing-masing kekal dengan gred 54 dan 29.

“(Saya) harap pembunuh Teoh Beng Hock dapat dihukum. (Saya) minta supaya perdana menteri, Datuk Seri Najib (Razak) tunaikan janji beliau kepada keluarga Teoh Beng Hock.

“Lima tahun lepas, Datuk Seri Najib cakap kalau ada sebarang pencarian dan siasatan mengatakan pegawai SPRM terlibat, maka akan dihukum dengan berat,” kata Lee Lan di depan pintu masuk parlimen pagi tadi.

Protes yang disertai seramai lebih kurang 40 orang itu berlangsung selama setengah jam bermula 10.30 pagi dan dikawal ketat oleh lebih kurang 20 orang pegawai polis.

Penyokong Teoh antaranya membawa sepanduk bertulis “Keadilan untuk Beng Hock tahun ke-5” dan “Suspek utama pembunuh Teoh Beng Hock dinaikkan pangkat?”.

Mereka juga memegang gambar pegawai yang didakwa terlibat dalam kes tersebut.

Lihat Komen
ADS