Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lelaki ditahan kes bakar cebisan al-Quran
Diterbitkan:  Nov 20, 2014 5:47 PM
Dikemaskini: 3:42 PM

Polis menahan seorang lelaki berhubung penemuan beberapa cebisan helaian al-Quran dipercayai dibakar di dalam tong di sebuah medan selera berhampiran sebuah pasar di Alor Setar hari ini.

    

Pemangku Ketua Polis Kedah Datuk Zakaria Yusof berkata lelaki itu ditahan di sebuah pasar raya di Mergong kira-kira jam 3 petang tadi.

    

Katanya lelaki itu, yang belum diketahui maklumat dirinya, akan dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan.

    

"Mengikut keterangan peniaga-peniaga di pasar itu, lelaki berkenaansentiasa dilihat berkeliaran di kawasan pasar dan sentiasa membakarkertas-kertas di tempat pembakaran terbabit," katanya dalam kenyataan malam ini.

    

Beberapa cebisan al-Quran dibakar itu ditemui oleh seorang peniaga setelah dimaklumkan individu lain, lalu beliau melaporkan perkara itu kepada pihak polis dan Jabatan Agama Islam Negeri.

    

Dalam sidang media petang tadi, Zakaria berkata pihaknya mengesyaki orang yang melakukan perkara itu mengalami masalah mental.

Sebelum itu,

polis menerima aduan mengenai perkara itu pada pukul 10 pagi tadi sebelum menghantar anggota ke tempat kejadian yang terletak berhampiran sebuah tokong dan menemui beberapa cebisan kertas yang dipercayai al-Quran yang telah dibakar.
 
Pada mulanya seorang peniaga mendapat tahu mengenai perkara itu setelah dimaklumkan seorang individu lain sebelum beliau membuat laporan polis.

Peniaga berkenaan, Mohd Fauzi Shariff, 53,  terkejut selepas menemui beberapa cebisan helaian al-Quran yang dipercayai dibakar dalam sebuah tong aluminium di sebuah medan selera berdekatan Pasar Besar Alor Setar.
 
Katanya, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh seorang lelaki berusia 30-an yang tidak dikenalinya kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.
 
Beliau berkata beliau dibawa lelaki tersebut ke tempat itu bagi melihat sendiri cebisan Al-Quran di dalam tong tersebut sebelum beliau melaporkan perkara itu kepada pihak polis dan Jabatan Agama Islam.
 
"Saya lihat ada cebisan al-Quran di atas penutup tong aluminium yang dijadikan tempat membakar kertas dan bila saya buka penutup tong itu, saya nampak ada lagi beberapa cebisan di dalam tong yang dipenuhi abu.
 
"Masa saya buka tong apinya sudah padam, mungkin ia dibakar sebelum itu," katanya kepada pemberita.
 
Mohd Fauzi berkata beliau tidak sempat bertanyakan lelaki itu bagaimana dia mengetahui perkara tersebut kerana lelaki berkenaan terus berlalu selepas membawanya ke situ.
 
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan Kedah, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid meminta pihak polis menjalankan siasatan mengenai perkara itu.
 
"Saya kecewa al-Quran diperlaku sebegitu rupa sedangkan orang Islam mempunyai kaedah yang betul untuk melupuskan Al-Quran," katanya ketika dihubungi.
 
Sementara itu Zakaria berkata pihaknya masih menyiasat berhubung dakwaan bahawa empat anggota polis terbabit dalam kes samun ke atas seorang warga asing di Kampung Gelong, Jitra pada Ahad lalu.

 
"Kes masih dalam siasatan polis dan sekiranya anggota polis berkenaan didapati bersalah, kita akan ambil tindakan tegas dan tidak akan membiar dan melindungi mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya.
 
Seorang wanita Myanmar telah membuat laporan polis dengan mendakwa dirinya disamun empat lelaki yang mengaku sebagai anggota polis yang telah mengambil rantai leher, telefon bimbit dan wang tunainya berjumlah RM800.
 
- Bernama
Lihat Komen
ADS