Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Akta Hasutan akan dibahas di AGM Umno
Diterbitkan:  Nov 21, 2014 12:00 AM
Dikemaskini: 4:02 PM

Akta Hasutan 1948 adalah antara isu yang akan dibahaskan pada Perhimpunan Agung Umno (AGM) yang akan berlangsung minggu depan, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.   

    

Beliau berkata perhimpunan selama lima hari bermula 25 November itu akan memberi ruang kepada perwakilan untuk melontarkan pendapat serta cadangan konstruktif

berkaitan akta berkenaan.    

    

Banyak usul yang dikemukakan oleh bahagian dan cawangan. Jawatankuasa usul telah menapis usul-usul yang boleh dibahaskan dan tidak ada sekatan, tetapi

masih ada penapisan kerana tidak semua usul kita terima.

    

Akta Hasutan ini merupakan satu akta yang kita sedar dan tahu ada beberapa pandangan dan kita harus lihat dari beberapa pilihan yang dilontarkan," katanya.

    

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pelaburan Mara Berhad (PMB) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam pembangunan 'Teaching Factory dan Program

'Industrialmanship' untuk meneroka potensi dalam industri kejuruteraan perkapalan di Lumut hari ini.

    

Mohd Shafie berkata terdapat pandangan bahawa akta itu perlu dihapuskan dan ada juga yang berpendapat ia perlu dikekalkan dengan beberapa pindaan.

    

"Kita perlu ada keterbukaan dan perlu menerima pandangan daripada akar umbi untuk memperkasakan (akta itu) supaya tidak timbul kecelaruan," katanya.

       

Beliau berkata penambahbaikan perlu dilakukan terhadap akta itu kerana zaman sudah berubah seperti penggunaan media sosial yang mungkin tidak terkandung dalam akta sedia ada.

    

"Media sosial antara faktor yang boleh melahirkan keadaan kacau bilau, hasutan, fitnah dan penyampaian maklumat yang tidak betul," katanya.

    

Sementara itu, seramai 5,739 perwakilan Umno dari seluruh negara akan menghadiri perhimpunan agung parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mulai Selasa depan.

    

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata daripada jumlah itu, sebanyak 2,763 akan menghadiri perhimpunan agung, manakala 993 anggota perwakilan menghadiri perhimpunan Pemuda, Wanita (992 anggota) Katanya, sebanyak 95 wakil asing yang mewakili 27 parti dari 19 negara juga telah mengesahkan kehadiran ke persidangan parti itu kali ini.

    

"Sebanyak 84 perwakilan dari 77 Kelab Umno Luar Negara dan tujuh Badan Perhubungan Negara juga akan hadir," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Umno hari ini.

    

Beliau berkata 70 peserta Mahasiswa Turun Parlimen (Mantap) IV dan13 peserta Felo Perdana akan turut menghadiri perhimpunan sebagai Sukarelawan Mahasiswa yang berlangsung di PWTC sehingga 29 November ini.

    

Tengku Adnan berkata, para perwakilan yang dilantik sebagai pembentang dan pembahas usul juga diingatkan supaya mematuhi arahan dan peraturan yang ditetapkan.

    

"Saya ingin mengingatkan pembentang supaya mematuhi garis panduan yang telah dikeluarkan pengerusi jawatankuasa usul perhimpunan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein agar tidak menyentuh masalah peribadi, isu-isu sensitif termasuk perkauman," katanya.

    

Beliau turut memaklumkan sebanyak 1,452 petugas media dari 106 agensi media tempatan dan antarabangsa, media baharu termasuk blogger serta portal berita dalam talian akan membuat liputan sepanjang berlangsungnya perhimpunan itu.

    

Katanya, sempena perhimpunan agung itu juga, pelbagai program sampingan turut diadakan yang dimulakan dengan Forum Antarabangsa 2014 bertemakan 'Hyper Connected World Challenges in Nation Building' pada 24 dan 25 November ini.

    

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual menyampaikan ucaptama do forum itu manakala Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dijadual merasmikan majlis penutup forum itu.

    

Tengku Adnan berkata perhimpunan kali ini akan memberi penekanan kepadausaha memajukan negara secara bersama oleh semua kaum.

    

"Kita telah dididik oleh nenek moyang kita pengasas Umno bahawa kita mesti bersama dengan kaum-kaum lain di Malaysia... walaupun bila disebut, memang Umno ini parti Melayu, teras Melayu tetapi kita dididik cara seperti itu. Kita ada konsep toleransi, wasatiyyah, moderation (kesederhanaan)," katanya.

    

Beliau turut menegaskan bangsa Melayu tidak perlu merasa gelisah walaupun sokongan kaum lain terhadap kerajaan dilihat sedikit menurun berdasarkan

keputusan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lepas.

    

"Ada sebab-sebab tertentu yang bangsa lain tidak sokong. Kita kena buat penambahbaikan. Jadi yang kita mahu tekankan bahawa, jangan gelisah kerana kita

percaya bahawa kaum lain masih melihat Umno sebagai tunjang untuk memastikan negara ini terus dalam keamanan, bergerak ke hadapan dan terus menjadi maju,"

katanya.

    

- Bernama

Lihat Komen
ADS