Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Belanjawan Selangor bagi tahun 2015 merupakan satu belanjawan defisit dan terbesar sepanjang pemerintahan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Ini kerana, anggaran perbelanjaan negeri pada tahun depan berjumlah RM2.42 bilion untuk melaksanakan rancangan pembangunan sementara kutipan hasil negeri itu dianggarkan berjumlah RM1.97 bilion.

Jumlah defisit ialah sebanyak RM450 juta.  

Jumlah yang dibentangkan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali juga antara terbanyak berbanding perbelanjaan tahun lalu yang dibentangkan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim iaitu sebanyak RM1.85 bilion.

"Kutipan hasil negeri Selangor bagi tahun 2015 dianggarkan meningkat 6.49 peratus kepada RM1.97 bilion berbanding RM1.85 bilion pada tahun 2014.

"Berdasarkan kedudukan kewangan negeri yang kukuh dan meyakinkan, maka kerajaan negeri mencadangkan agar anggaran perbelanjaan 2015 berjumlah RM2,422,500,000 bagi melaksanakan semua rancangan pembangunan kerajaan khususnya program kesejahteraan rakyat," kata Azmin.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan belanjawan negeri itu 2015 di Dewan Undangan Negeri Selangor di Shah Alam.

Menurut  Azmin lagi, daripada jumlah perbelanjaan itu, sebanyak RM1.29 bilion (53.19%) diperuntukan bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.13 bilion (46.81 peratus) bagi perbelanjaan pembangunan.

Pada 2014, jumlah belanjawan negeri bagi kegunaan perbelanjaan ialah sebanyak RM1.225 bilion (66.2%) manakala RM625 juta pula digunakan untuk tujuan pembangunan.

Ketika membentangkan belanjawan, Azmin berkata bagi perbelanjaan mengurus sebanyak RM385 juta diperuntukkan untuk emolumen dan RM443.5 juta disediakan bagi perkhidmatan dan bekalan.

'Langkah berani, drastik'

Manakala, RM17.6 juta pula diperuntukkan untuk pembelian aset serta sejumlah RM426.5 juta pula disediakan untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap dan RM16 juta untuk perbelanjaan lain, tambahnya.

Bagi perbelanjaan pembangunan pula, Azmin berkata sejumlah RM277.3 juta diperuntukkan bagi program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Sementara RM106.6 juta disediakan bagi perkhidmatan masyarakat, pembangunan luar bandar, sektor perbandaran dan pembangunan usahawan, katanya lagi.

Bagi perbelanjaan pembangunan pula, sebanyak RM636.9 juta merupakan anggaran bagi perbelanjaan pejabat menteri besar dan setiausaha kerajaan.

Dalam sidang media kemudiannya, Azmin berkata belanjawan yang dibentangkan berjaya menurunkan belanja mengurus dan meningkatkan belanja pembangunan.

Beliau yang juga ADUN Bukit Antarabangsa itu, ia merupakan satu tindakan yang berani dan drastik demi mendapatkan kesan gandaan daripada aktiviti pembangunan di Selangor.

"Belanjawan yang saya bentangkan tadi telah berjaya menurunkan belanja mengurus dan meningkatkan belanja pembangunan.

"Ini satu tindakan dan langkah yang berani dan drastik untuk menurunkan belanja mengurus ke tahap 53 peratus.

"Dengan meningkatkan belanja pembangunan, saya yakin ia dapat membantu yang saya sebutkan tadi, kesan gandaan dari segi aktiviti pembangunan di Selangor dan tingkatkan hasil.

"Sebab itu saya yakin hasil yang kita kutip itu jauh lagi besar dari apa yang kita anggarkan. Dan ini dapat membiayai defisit belanjawan yang kita umumkan tadi," katanya.

Lihat Komen
ADS