Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Janin ditemui dalam tandas sekolah
Diterbitkan:  Nov 25, 2014 7:15 AM
Dikemaskini: 11:29 PM

Satu janin manusia dipercayai berusia tiga bulan ditemui dalam tandas perempuan sebuah sekolah menengah di Machang Bubok, di Bukit Mertajam semalam.

Jurucakap polis berkata dalam kejadian pukul 3.30 petang itu, seorang guru di sekolah berkenaan menemui janin tersebut sebelum memaklumkan kepada polis.

    

"Sepasukan polis dihantar ke lokasi berkenaan dan menjalankan pemeriksaan, janin itu ditemui di atas lantai dalam tandas tersebut.

    

"Siasatan oleh Unit Forensik mendapati kematian janin tersebut kerana keguguran dan polis menghantar janin tersebut ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat," katanya semalam.

Beliau berkata polis turut merekodkan keterangan beberapa individu termasukguru di sekolah berkenaan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Rusli Mohd Noor berkata,siasatan lanjut sedang dijalankan.

Warga Indonesia maut

Sementara itu, seorang lelaki warga Indonesia maut dirodok pada bahagian sebelah kanan perut dengan senjata tajam selepas diserang sekumpulan lelaki di sebuah pusat beli belah di Ipoh kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ASP Sum Chang Keong berkata mangsa, Al-Amin, 31, yang bekerja sebagai buruh binaan dipercayai diserang seramai 10 hingga 15 lelaki warga Indonesia dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang.

    

"Sebaik saja pihak kami sampai di sana selepas mendapat panggilan pada jam5.30 petang, kami menemui mangsa dalam keadaan parah dengan perutnya terburai di tingkat satu pusat beli belah tersebut," katanya dalam sidang media di Balai Polis Batu Puteh di Ipoh semalam.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai pergi ke pusat beli belah itu bersama rakan sebelum diserang sekumpulan lelaki terbabit dengan memukul dan menikam mangsa di bahagian perut menggunakan senjata tajam.

"Mangsa meninggal dunia ketika dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun dengan menaiki ambulans," katanya.

Beliau berkata setakat ini punca dan motif kejadian masih disiasat.

"Pihak polis masih mengesan suspek melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat beli belah berkenaan," katanya.

Geng Lima Pagi tumpas

Sementara itu ASP Sum berkata sekumpulan remaja lelaki dikenali sebagai 'Geng Lima Pagi' yang aktif melakukan kegiatan samun sejak dua bulan lalu di sekitar Tambun dan Bercham, tumpas apabila pihak polis berjaya menahan enam anggota kumpulan terbabit di lima lokasi berlainan, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ASP Sum Chang Keong berkata hasil tangkapan seorang suspek yang merupakan dalang kepada geng terbabit pada 21 Nov lalu di Bandar Baru Putra, Tanjung Rambutan, telah membawa kepada penahanan lima lagi anggota.

"Kami telah menahan lima lagi anggota geng terbabit dalam serbuan di empat buah rumah berasingan di sekitar Tanjung Rambutan dan Tambun," katanya.

Beliau berkata, hasil serbuan itu polis telah merampas pelbagai jenis barang antaranya sebuah tablet jenama Trinity, sebuah power bank jenama Lenovo, sebilah pisau, sebuah telefon bimbit masing-masing jenama Nokia, Samsung Grand dan IPhone, sebuah motosikal jenis Honda EX5 berwarna hitam dan sebuah dompet.

Beliau berkata geng terbabit aktif menyamun sekitar awal pagi dan menyasarkan siber kafe di sekitar Tambun dan Bercham sebagai lokasi tumpuan untuk menyamun.

    

"Mereka menggunakan pisau untuk mengugut mangsa dan bergerak secara berkumpulan untuk menyamun," katanya.

Chang Keong berkata kesemua suspek berumur antara 15 hingga 21 tahun ditahan selama tujuh hari bermula 22 Nov hingga 28 Nov ini sebelum disambung reman bagi membantu siasatan, katanya.

    

"Setakat ini mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan sehingga kini sebanyak tujuh kes yang direkodkan membabitkan geng itu," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan samun berkumpulan, katanya.

    

- Bernama

Lihat Komen
ADS