Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui kebenaran rungutan akar umbi bahawa rumah yang dibina berharga RM400,000 bukan rumah mampu milik.

Sebaliknya, katanya yang juga timbalan perdana menteri bahawa rumah tersebut dianggap "rumah mampu tengok sahaja".

"Mengenai isu perumahan, ada ahli Umno di akar umbi yang mengatakan kepada saya, rumah-rumah yang dibina dengan harga RM400,000 sebenarnya bukan rumah mampu milik, tetapi rumah mampu tengok sahaja. Pandangan ini ada juga kebenarannya.

"Menurut Kajian Khazanah Research Institute, harga rumah mampu milik yang sewajarnya adalah tiga kali median pendapatan isi rumah, iaitu bagi kumpulan pendapatan isi rumah 40 peratus terbawah dengan harga RM70,000 dan kumpulan berpendapatan sederhana pada harga RM160,000 atau pada purata harga RM130,000.

"Rumah-rumah yang dibina dengan harga yang terlalu mahal, terutamanya di kawasan-kawasan bandar dan pinggir bandar, sudah tentulah tidak mampu dibeli oleh rakyat berpendapatan rendah dan sederhana," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bertajuk "Merekayasa Perubahan Mendepani Zaman" di Dewan Merdeka di PWTC malam ini.

TPM ulang: Kekalkan Akta Hasutan

Dalam ucapannya juga, turut menyentuh berkaitan pendidikan dan perpaduan nasional termasuk mengulangi pendiriannya mengenai kewajaran mengekalkan Akta Hasutan dengan beberapa penambahbaikan.

"Peruntukan khusus perlu dimasukkan untuk melarang mana-mana pihak daripada mempersoalkan jaminan perlembagaan mengenai kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan.

"Akta ini juga perlu menghalang mana-mana pihak daripada mempersoalkan hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan agama masing-masing.

"Begitu juga dengan kedudukan tanah rizab Melayu dan Regimen Askar Melayu Diraja yang merupakan sebahagian daripada wasiat Raja-Raja Melayu perlu dilindungi daripada perbuatan menghasut.

"Apa yang penting ialah kita perlu melihat Akta Hasutan bukan sebagai akta yang hanya melindungi kepentingan orang Melayu, tetapi akta yang memelihara perpaduan dan keharmonian nasional," katanya.

Lihat Komen
ADS