Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Suami isteri warga emas mati ditetak
Diterbitkan:  Nov 26, 2014 7:34 AM
Dikemaskini: 11:38 PM

Sepasang suami isteri warga emas ditemui mati dengan kesan kecederaan dipercayai dibunuh di rumah mereka di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil di Baling tengahari semalam.
 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, ACP Nashir Ya berkata mayat pasangan berkenaan ditemui anak angkat lelaki mereka berusia 24 tahun yang baru pulang dari kerja pada 12.20 tengah hari. 
 
Dia bergegas memberitahu jiran mengenai kejadian itu. 
 
Nashir berkata mayat Zahari Yahya, 66, dan isterinya Salmah Husin, 61, yang merupakan pesara kerajaan ditemui terbaring berasingan dalam rumah mereka. 
 
"Mayat Zahari ditemui di ruang tamu rumah, manakala mayat isterinya ditemui terbaring di ruang bahagian dapur," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.   
 
Beliau berkata, kedua-dua mangsa dipercayai maut akibat tetakan di bahagian tengkok dan belakang. 
 
Nashir berkata polis masih menyiasat motif pembunuhan kerana setakat ini pihaknya mendapati tiada barang berharga yang hilang. 
 
"Polis menahan seorang anak angkat mangsa untuk membantu siasatan dan mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk bedah siasat," katanya. 
 
Sementara itu, mayat dipercayai warga asing yang dibungkus dengan kain selimut ditemui oleh orang ramai di tepi tali air di Kuala Tebengau, di Alor Setar semalam.
 
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata hasil siasatan mendapati mangsa yang berusia 20-an itu dipercayai meninggal dunia dalam tempoh kurang 24 jam lepas.
 
Mangsa ditemui pada kira-kira 9 pagi dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mangsa dan polis percaya tindakan membungkus mangsa dengan kain selimut itu adalah bagi menarik perhatian pihak berkuasa agar menguruskan mayat tersebut, katanya.
 
"Kita syak mangsa meninggal dunia di tempat lain sebelum diletakkan di lokasi berkenaan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat," katanya.
 
Beliau berkata polis sedang menyiasat kes tersebut dan mengklasifikasikannya sebagai mati mengejut.
 
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil di balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di talian 04-7741222.
 
- Bernama

Lihat Komen
ADS