Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Beri generasi muda lebih ruang, peluang dalam Umno'
Diterbitkan:  Nov 26, 2014 7:52 AM
Dikemaskini: Nov 26, 2014 3:56 AM

Ketiga-tiga naib presiden Umno bersetuju bahawa generasi muda perlu diberi ruang dan peluang dalam Umno, bagi memastikan parti itu terus kekal relevan mendepani zaman.
 
Mengulas ucapan perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno oleh Timbalan Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam tadi, mereka berkata ia adalah realiti yang harus dilaksanakan bagi memastikan Umno terus utuh. 
 
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ucapan Muhyiddin yang menyentuh perkara itu merupakan realiti yang harus dilihat oleh anggota Umno dan ia amat penting bagi parti itu menyedari pengorbanan yang perlu dilakukan untuk maju ke hadapan.
 
"Saya lihat satu ucapan yang telus dan jujur yang realistik dan penuh dengan harapan bahawa melalui perhimpunan kita hari ini, kita boleh letakkan kembali landasan perjuangan Umno itu sendiri.
 
"Penting untuk kita bangkit dengan semangat baru, saya sangat terharu melihat satu ucapan yang bukan sahaja nak menggembirakan ataupun memberi kita layanan yang istimewa tetapi satu semakan mengenai realiti kepada apa yang terpaksa Umno lalui dan perlu berubah," katanya.
 
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula menyifatkan ucapan itu sebagai peringatan kepada anak-anak muda bahawa Umno sentiasa memberi ruang kepada mereka untuk menyertai Umno dan berpeluang memimpin parti itu bersama pemimpin sedia ada.
 
"Peringatan yang baik, untuk anak-anak muda, pejuang-pejuang muda dalam Umno yang, kalau kita gagal menggalakkan orang muda berkecimpung ke dalam parti ini ia akan memudaratkan perjuangan Umno," katanya.
 
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula menyatakan perkara itu sememangnya tepat pada masa ini dan telah dilakukan oleh pemimpin terdahulu.
 
"Ini adalah satu kritikan diri, muhasabah yang dilakukan dan beliau menggarap kaji selidik yang dibuat kita harus laksanakan, supaya Umno terus relevan bukan sahaja untuk keperluan generasi X dan Y tetapi keperluan era sezaman," katanya. 
 
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pula berkata intipati amanat ucapan timbalan presiden Umno yang mahukan anggota parti bangkit membaiki kelunturan kepercayaan rakyat terhadap Umno itu sememangnya mewakili hasrat, aspirasi dan pandangan generasi muda yang mahukan perubahan dalam parti itu.
 
Katanya, beliau menyokong penuh ucapan Muhyiddin kerana sebahagian besar daripada ucapannya mewakili pandangan dan juga harapan orang muda kepada Umno.
 
"Defisit yang disebut itu ialah tanggapan kepada keseluruhan parti terutamanya tanggapan orang muda terhadap parti itu sendiri, bukan terhadap sayap sahaja maka kita perlu berubah dari segala tanggapan negatif yang ada," katanya.
 
Katanya, Pemuda sependapat bahawa kuasa Akta Hasutan 1948 perlu dikekalkan dengan sama ada mengekalkan akta, memberi nama baru atau menambahbaik akta itu, seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Presiden Umno itu.
 
Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan teguran yang diberikan Muhyiddin pada ucapan itu sebagai cabaran dan pembakar semangat kepada pergerakan untuk berubah, agar tidak terus berada di takuk selesa. 
 
"Memang pahit untuk kami telan (teguran itu), namun kita perlu berpijak pada realiti, mencari penawar kepada teguran itu. Ini cabaran kepada Wanita Umno untuk memperkukuhkan landasan ke arah yang diminta," katanya. 
    
Mengenai hasrat Muhyiddin yang mahu golongan muda diberi peluang dalam kepimpinan parti, Shahrizat berkata perkara itu tidak mustahil untuk dilakukan kerana 73 ketua bahagian pergerakan itu terdiri daripada orang muda.
 
Ketua Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin pula berkata anggota Puteri sentiasa membuka peluang kepada golongan profesional dan para ilmuan bagi berkhidmat kepada masyarakat seperti yang disarankan oleh Timbalan Perdana Menteri itu.
 
"Namun dalam usaha untuk mendekati golongan ini perlu ditambah lagi dengan turun padang ke akar umbi lebih kerap dan mengajak mereka untuk menyertai program-program kami bagi menjayakan agenda memperkasakan parti. 
 
Inilah masanya untuk anggota-anggota Puteri fokus kepada berkhidmat kepada rakyat... hentikan berpolitik dan mula berkhidmat, " katanya.

Ketiga-tiga sayap Umno - Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri - mengadakan perhimpunan agung tahunan masing-masing di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
 
Ketiga-tiga sayap parti itu memulakan agenda perhimpunan mereka dengan ucapan dasar ketua pergerakan masing-masing sebelum disusuli usul dan perbahasan yang menyentuh pelbagai isu semasa termasuk isu keselamatan, keamanan, kenaikan kos sara hidup, pendidikan dan perpaduan negara.
 
Menurut jadual atur cara yang dikeluarkan Bahagian Media Umno, Perhimpunan Agung Wanita berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, Pemuda (Dewan Tun Hussein Onn) dan Puteri Umno diadakan di Dewan Merdeka.
 
Sejumlah 993 perwakilan akan menghadiri perhimpunan agung wanita yang akan berbahas mengenai isu keselamatan, keamanan dan perpaduan negara manakala 992 perwakilan Pemuda akan membahaskan isu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes lelaki berpakaian wanita, isu perumahan di kalangan belia, serta transformasi parti.
 
Perhimpunan tahunan Puteri Umno dengan 991 perwakilan akan memfokuskan isu pengangguran di kalangan generasi muda sebagai usul utama.

- Bernama

Lihat Komen
ADS