Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hasrat anggota tentera tak kesampaian
Diterbitkan:  Nov 27, 2014 8:00 AM
Dikemaskini: 4:01 AM

Hasrat Lans Koperal Safani Hassan untuk membeli barang hantaran perkahwinan bersama tunangnya Hayati Mohd Noor, 21, di Ipoh, tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di KM69, Jalan Ipoh-Gerik berhampiran Kampung Chuar Kati di Kuala Kangsar awal pagi semalam.
 
Menurut ibu Hayati, Hapipah Abu Hassan, 43, pasangan itu bakal melangsungkan perkahwinan pada 29 Mei depan.
 
Ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar, Hapipah berkata beliau menerima panggilan telefon daripada keluarga Safani di Negeri Sembilan mengenai kemalangan itu pada 9 pagi semalam.
 
Hapipah berkata beliau diberitahu bahawa Safani, 28, dalam perjalanan balik ke kem selepas pulang bercuti di kampungnya.
 
Hapipah berkata kali terakhir dia bertemu Safani pada Jumaat lepas dan Allahyarham berpesan kepadanya melalui panggilan telefon supaya menjaga diri kerana dia akan menyertai operasi dalam masa terdekat.
 
Kemalangan pada jam 1.10 pagi itu mengakibatkan kereta Proton Satria terbakar dan pemandunya Safani, seorang anggota Batalion 4, Rejimen Sempadan di Kem Gerik, rentung.
 
Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Satria yang datang dari arah Kuala Kangsar menghala ke Lenggong gagal memotong kenderaan lain di hadapan sebelum bertembung dengan kereta Mercedes Benz dari arah bertentangan.
 
Pemandu kereta Mercedes Benz iaitu Pembantu Pengurus Kanan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Gerik, Mohd Aminnuddin Mohd Hashim, 57, dan penumpang sebelahnya Hanita Ariffin, 46, meninggal dunia di tempat kejadian.
 
Penumpang belakang kereta itu, Razali Yaakub, 55, dan seorang lagi wanita yang sedang dikenal pasti identitinya mengalami kecederaan parah.
 
Sementara itu, Nor Hafizah Abdul Aziz, 22, tidak menyangka hasrat ibunya, Hanita untuk membeli buah mata kucing untuk diberikan kepada kakaknya yang sedang mengandung tidak kesampaian.
 
Nor Hafizah berkata dia terkejut ibunya terlibat dalam kemalangan selepas diberitahu mengenai kejadian itu oleh rakan ibunya yang datang ke rumah kira-kira 9 pagi semalam.
 
"Mak saya keluar rumah kira-kira 2 petang kelmarin, bersama rakannya untuk mencari beberapa barang dan buah mata kucing untuk kakak saya," katanya.
 
- Bernama
 

Lihat Komen
ADS