Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Naib-naib presiden Umno meluahkan rasa lega di samping mengalu-alukan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengekalkan Akta Hasutan 1948 sekaligus memperkukuhkannya lagi.

Datuk Seri Zahid Hamidi ( bawah ) berkata keputusan Najib itu melegakan orang Islam dan penganut agama lain kerana aspek agama perkara sensitif yang sering disentuh pelbagai pihak.

"Presiden (Umno) sebagai perdana menteri mendapat maklum balas daripada banyak pihak, walaupun transformasi politik menjadi agenda yang dilancarkan.

"Tetapi PM adalah seorang yang praktikal, memahami hati rakyat seluruhnya, bukan saja dari NGO, tetapi dari suara akar umbi yang dibawakan, mereka rata-rata tak mahu akta ini digantikan dengan sebarang akta," katanya.

MP Bagan Datoh itu menjawab soalan pemberita bahawa pembangkang akan menjadikan keputusan itu sebagai isu dan perancangan Umno untuk menjawabnya.

Najib mengumumkan akta itu dikekal dan diperkukuhkan dengan memasukkan peruntukan khas bagi melindungi Islam dan agama lain serta mengenakan tindakan kepada pihak yang mahu memisahkan Sabah dan Sarawak daripada Malaysia.

Pertahan Sabah, S'wak

Sementara itu, Datuk Seri Shafie Apdal ( kanan ) pula berkata pengekalan akta itu baik demi menjaga keselamatan negara daripada ada anasir yang cuba menghasut dan menimbulkan huru-hara serta mengambil kesempatan.

"Maka kita mengalu-alukannya, bukan hanya mempertahankan Sabah, Sarawak, malah pimpinan kita tak membisu, sentiasa mendengar suara rakyat suara kesejahteraan dan keselamatan negara menjadi tunggak yang dipentingkan dan diutamakan," katanya.

Tak bermakna tak boleh pinda

Sementara itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussen ( bawah ) berkata pengumuman Najib itu melegakannya dan tidak bermakna kerajaan tidak boleh meminda lagi Akta Hasutan yang sedia ada.

"Dulu pun bila kita umumkan bahawa akta hasutan ini boleh dilihat semula dengan kemungkinan akta baru diketengahkan.

"Ia bersandarkan kepada tidak kompromi mempertahankan tunjang-tunjang perjuangan Umno yang ada dalam Perkara 153 perlembagaan kita.

"Tetapi polemik perbincangan akta hasutan ini dah berkisar sama ada kita kekalkan atau hapuskan.

"Dan waktu awal (diperkenal) dahulu ialah untuk memperkukuh dan memperkasa khusus kepada perkara yang menyentuh agama Islam, sensitiviti kaum dan kedudukan orang Melayu dan institusi raja," katanya.

Lihat Komen
ADS