Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Tukar nama jalan bukan permintaan Majlis Raja-Raja
Diterbitkan:  Nov 29, 2014 7:13 AM
Dikemaskini: Nov 29, 2014 2:32 AM

Keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menukar nama lapan jalan utama di sekitar Kuala Lumpur bukan dibuat atas permintaan Majlis Raja-Raja, sebaliknya ia adalah keputusan Kementerian Wilayah Persekutuan.

    

Menterinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, keputusan itu diambil kerana Yang di-Pertuan Agong merupakan sebahagian daripada lipatan sejarah negara ini bagi memastikan rakyat terus mengingati mereka.

"Idea untuk menukar nama jalan-jalan utama yang terlibat bukanlah datang daripada Majlis Raja-raja (seperti yang dilaporkan dalam portal berita alternatif), tetapi ia datang daripada kementerian.

    

"Tujuan ia dilakukan ialah bagi mengingatkan warga kota, dan seluruhrakyat Malaysia secara amnya, dengan nama-nama mereka. Nama Yang di-Pertuan Agong sepatutnya diingati masyarakat kerana mereka sebahagian sejarah pemerintahan Malaysia," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

    

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas laporan portal bahawa permintaan itu kononnya datang daripada Majlis Raja-Raja.

    

DBKL, dalam satu kenyataan beberapa hari lepas, mengumumkan nama-nama jalan utama yang terlibat ialah Jalan Duta, Jalan Khidmat Usaha, Jalan Ipoh, Persiaran Duta, Jalan Khidmat Setia dan Jalan Ibadah, Lebuhraya Mahameru, Persiaran Mahameru dan Jalan Semarak.

    

Jalan-jalan itu akan ditukar nama kepada Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah, Jalan Sultan Azlan Shah, Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin, Jalan Sultan Mizan Zainal Abidin, Lebuhraya Sultan Iskandar, Persiaran Tuanku Ja'afar, dan Jalan Sultan Yahya Petra.

    

Menurut DBKL, nama-nama baru itu mula berkuatkuasa pada 26 November.

- Bernama

Lihat Komen
ADS