Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zaidi: Segelintir saja Cina kaya duit haram
Diterbitkan:  Dec 2, 2014 12:27 PM
Dikemaskini: 9:44 AM

Ketua Umno Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said menjelaskan bahawa beliau hanya memaksudkan "segelintir" Cina Pulau Pinang menjadi kaya hasil duit haram.

Beliau membuat kenyataan itu bagi menjelaskan ucapannya pada Perhimpunan Agung Umno minggu lepas, lapor Berita Harian.

Menurut Mohd Zaidi, beliau menggunakan perkataan "kadang-kadang" dalam ucapannya bagi menjelaskan bahawa tidak semua Cina di Pulau Pinang terlibat dalam kegiatan perjudian, pelacuran, dan perniagaan haram.

"Kadang-kadang bermaksud segelintir sahaja dan dan saya tidak menyebut semua orang Pulau Pinang.

"Bagaimana pun, dalam laporan media perkataan itu tidak diambil dan 90 peratus ucapan saya sebenarnya menyentuh mengenai kelemahan penguatkuasaan iaitu membabitkan kerajaan Pusat dan negeri," beliau dipetik sebagai berkata.

Zaidi mencetuskan kontroversi pada perhimpunan itu minggu lepas apabila mendakwa Cina di Pulau Pinang kuat dan berkuasa kerana wang dari kegiatan haram.

Kenyataannya itu yang tidak diulas oleh mana-mana pemimpin tertinggi Umno pada himpunan itu dibidas pemimpin Cina dari BN dan Pakatan Rakyat.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mendakwa beliau berbohong sementara Ketua Wanita MCA, Datin Chew Mei Fun menyifatkan kenyataan itu sebagai "tidak berotak".

Selar 'penipuan terkeji'

Sementara itu, Umno Online melaporkan Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Rafizal Abd Rahim sebagai menyelar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kerana menyifatkan dakwaan Zaidi sebagai “penipuan terkeji”.

Mahukan ungkapan itu ditarik balik, Rafizal ( kanan ) mengulangi cabaran agar Lim meletakkan jawatan jika Zaidi berjaya menunjukkan lokasi premis perjudian, pelacuran dan pusat hiburan yang diperkatakan.

“Kejayaan demi kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membanteras gejala ini adalah bukti bahawa kegiatan haram ini benar-benar berlaku di negeri yang ditadbir oleh rejim DAP.

“Persoalannya kini adalah mengapa pengusaha kegiatan haram ini berani untuk menjalankan perniagaan mereka di negeri ini? ” beliau dipetik sebagai berkata.

Lihat Komen
ADS