Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini meluluskan usul tergempar bagi mendesak kerajaan Persekutuan memansuhkan Akta Hasutan 1948.

Usul yang dibawa oleh Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku) itu disokong oleh Saari Sungib (PAS-Hulu Kelang) bagi membahaskan perkara tersebut.

Ketika mencadangkan usul itu, Lau ( kiri ) berkata, tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan untuk mengekalkan akta itu merupakan satu tindakan yang “munafik”.

Katanya, Najib sebelum ini berjanji untuk memansuhkan akta tersebut namun perkara yang berlaku sebaliknya.

"Pendirian perdana menteri yang membelakangkan janjinya menunjukkan sikap hipokrit atau dalam bahasa Arab, munafik," katanya ketika mencadangkan usul tergempar itu di DUN Selangor, Shah Alam.

Ketika Lau mencadangkan usul tersebut, kesemua ADUN BN bagaimanapun keluar daripada dewan negeri itu.

'Melukut di tepi gantang'

Ketika sesi perbahasan usul, Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) mempersoalkan penggunaan Akta Hasutan yang digunakan mendakwa ahli politik Pakatan Rakyat.

Ng turut menyeru MCA, MIC dan GERAKAN keluar daripada BN kerana Najib tidak menghormati pandangan mereka dengan mengumumkan pengekalan akta itu di persidangan Umno lalu.

"Umno jangan jadi juara semasa Perhimpunan Agung Umno (PAU). Kononnya mempertahankan Akta Hasutan.

"Mereka sebagai parti komponen di mana maruah mereka? Tidak dihormati langsung kerana presiden Umno isytihar akta itu kekal hanya dalam PAU.

"Mana kesepakatan mereka? Cukuplah MCA janganlah melukut di tepi gantang bersama BN demi mengejar jawatan," katanya lagi.

Pembangkang: Itu kerja persekutuan

Sementara itu, bercakap dalam sidang media selepas itu, Ketua Pembangkang Datuk Shamsudin Lias berkata, kesemua ADUN BN tidak mengambil bahagian dalam perbahasan kerana perkara itu sepatutnya dibincangkan di peringkat persekutuan.

Shamsudin berkata, tindakan ADUN daripada DAP itu mengemukakan usul tersebut hanya gimik politik semata-mata.

"Kita ADUN BN telah membuat pendirian untuk tidak mengambil bahagian dalam isu ini kerana perdana menteri telah buat kenyataan, Akta Hasutan akan dikekalkan dan ditambah baik .

"Tidak perlu untuk kita membahaskan. Perkara ini tanggungjawab pihak Persekutuan. Kalau ada usul-usul untuk menggubal atau meminda rang undang-undang ini, ia adalah undang-undang persekutuan .

"Jadi (kerajaan) negeri membuat usul ini sebenarnya hanya untuk gimik politik, untuk menimbulkan isu dan membangkitkan perasaan tidak baik kepada rakyat atas asas rasional mereka iaitu kebebasan bersuara," kata ADUN Sungai Burong itu.

Lihat Komen
ADS