Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, parti itu menjangkakan bahawa negara akan mengalami “darurat ekonomi” pada tahun depan.

Jelasnya, ia berdasarkan jangkaan melibatkan penyusutan nilai matawang ringgit, penurunan harga minyak dan peningkatan kadar inflasi.

Oleh itu, PAS tidak yakin bahawa kerajaan mampu menampung penyusutan pendapatan dengan hasil daripada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), katanya.

Jelasnya, jangkaan itu juga berdasarkan pengumuman syarikat petroleum negara, Petronas bahawa sumbangan pendapatannya kepada negara akan menyusut sebanyak RM25 bilion.

Pada masa sama katanya, kelemahan nilai Ringgit akan menyebabkan rakyat lebih berhemah dalam berbelanja, katanya.

"Kita sedang menuju kepada darurat ekonomi. Jadi saya bimbang walaupun kerajaan jangka dia boleh tutup dengan GST, sebab Petronas sendiri dah meramalkan sumbangan Petronas kepada kerajaan akan menyusut sebanyak RM25 bilion.

"Ini satu jumlah yang sangat besar," katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut Mahfuz, tempoh kritikal yang menanti Malaysia tahun depan menuntut kehadiran seorang menteri kewangan sepenuh masa.

Justeru, katanya, masanya sudah tiba untuk Najib melepaskan jawatan itu dan hanya melantik seorang menteri lain bagi jawatan itu.

"Dalam hal ini negara memerlukan seorang menteri kewangan yang lebih fokus ke depan dalam mengatasi masalah ini.

"Kita ada dua menteri kewangan tetapi nampaknya kita seperti hilang arah.

"Jadi sebab itu ini masa terbaik perdana menteri melepaskan jawatan menteri kewangan.

"Ini supaya hanya seorang menteri kewangan yang boleh memberi fokus kepada masalah darurat ekonomi yang bakal berlaku," katanya.

Lihat Komen
ADS