Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Blog: Jefrrey masih dendam dengan Mahathir
Diterbitkan:  Dec 4, 2014 9:48 AM
Dikemaskini: 5:18 AM

Satu blog penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad membidas ahli politik Sabah, Datuk Jeffrey Kitingan kerana masih mengaitkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu siasatan terhadap pendatang tanpa izin di negeri itu.
 
Tulisan di blog mykmu.net itu juga mendakwa, kenyataan Jeffrey menunjukkan pengerusi parti Star itu masih menaruh dendam dengan Mahathir.
 
“Dendam ke atas (Mahathir) ini tidak dapat dielakkan kerana Jeffrey pernah ditangkap di bawah ISA kerana dituduh terbabit dalam usaha memisahkan Sabah dari Persekutuan Malaysia.
 
“Jeffrey juga pernah didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah membabitkan kawasan pembalakan semasa menjadi pengarah. Sehingga kini Jeffrey masih tidak puas hati terhadap Tun Mahathir dan Umno,” katanya.
 
Tulisan itu juga membangkitkan bahawa Jeffrey tidak mengemukakan bukti yang menunjukkan Mahathir atau kerajaan persekutuan terlibat mengeluarkan kad pengenalan kepada golongan yang tidak layak.
 
“Laporan tersebut sebenarnya sangat telus dan terbuka mendengar pandangan semua pihak termasuk daripada Jeffrey sendiri.
 
“Malangnya, beliau tidak membawa sebarang bukti dan apa-apa saksi yang boleh mengesahkan kewujudan projek Mahathir bagi memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing secara besar-besaran.
 
“Bukan sahaja Jeffrey tiada saksi, malah angka yang ada menunjukkan hanya sebanyak 68,703 orang pendatang asing mendapat kewarganegaraan di Sabah.
 
“Ini sangat jauh daripada dakwaan Jeffrey dan kumpulan beliau sebanyak 1 juta orang," tulisan blog itu dipetik.
 
Tulisan itu juga menyokong penemuan RCI mengenai pemilikan kad pengenalan biru yang tidak sah.
 
“Bukti ini mengesahkan bahawa pemilikan kad pengenalan biru ini dibuat oleh sindiket bagi mencari keuntungan.
 
“Jika ia merupakan agenda Tun Mahathir memberi kerakyatan tentulah beliau akan memberi kewarganegaraan yang sah, bukannya kad pengenalan biru yang palsu dan tiada hak kewarganegaraan,” tulisan itu dipetik.
 
Jeffrey semalam dalam reaksi segera ke atas pengumuman laporan RCI berkata kandungan itu dibentangkan hari ini menyelamatkan Mahathir.

Lihat Komen
ADS