Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Berbeza dengan laporan sebelum ini, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengkritik kebergantungan Malaysia kepada orang luar untuk memajukan negara.

Menjawab soalan berhubung pelantikan tokoh korporat Jerman Christoph R Mueller sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) baru Malaysia Airlines Bhd (MAS NewCo), Mahathir berkata ia menjadi “pengakuan kita ini bodoh”.

"Saya khuatir kita tidak ada kepercayaan kepada diri sendiri sehingga satu hari nanti kita nak perdana menteri, kita boleh ambil orang putih sebab dia lebih pandai daripada kita.

“Kalau nak marah, marahlah. Itu pendapat saya,” katanya.

Menjelaskan kontroversi kenyataannya sebelum ini, Mahathir menegaskan “orang Malaysia tidak bodoh” dan mempunyai banyak bakat walaupun di zaman British dianggap kolot.

"Tapi nak panggil jadi konsultan (adalah) orang asing. Nak jadi pengarah, orang asing, nampak beri pengakuan kita ni bodoh,” katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan anggota parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Naina Merican yang mempertikaikan pelantikan Mueller dan mahukan keutamaan diberi kepada warga tempatan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Pengurusan Kualiti Islam (i-QAM) anjuran Universiti Utara Malaysia di Hotel Everly di Putrajaya.

Menjawab dakwaan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bahawa BN sebenarnya tidak mampu menguruskan syarikat penerbangan Dr Mahathir berkata:

"Kerajaan mesti sedar bahawa kita tidak harus mengaku bahawa kita tidak ada kebolehan.

"Kalau kita percaya bahawa kita tidak ada kebolehan, kita jangan jadi kerajaanlah," katanya.

Lihat Komen
ADS