Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lanun rompak kelasi kapal tangki di Pulau Aur
Diterbitkan:  Dec 9, 2014 9:00 AM
Dikemaskini: 1:07 AM

Sekumpulan lelaki bersenjata menembak seorang kelasi Vietnam dan merompak 16 kelasi sebuah kapal tangki di perairan Pulau Aur, selatan Johor pada hari Ahad.

    

Lelaki yang cedera ditembak di kepala itu kemudian diterbangkan ke hospital di Singapura dan meninggal dunia di sana.

    

Serangan lanun itu berlaku pada pukul 5.30 pagi semasa kapal yang membawa muatan asfalt dalam pelayaran dari Singapura ke Vietnam.

Ketua Pusat Laporan Kegiatan Melanun Biro Maritim Antarabangsa yang berpangkalan di ibunegara, Noel Choong berkata pihak berkuasa Singapura menghantar helikopter dan membawa kelasi yang cedera parah itu ke hospital.

Beliau menasihatkan kapal-kapal supaya mengambil langkah-langkah tegas dan memantau kegiatan melanun terutama pada sebelah malam dan melaporkan sebarang serangan kepada pusat itu di Kuala Lumpur untuk berhubung dengan pihak berkuasa tempatan dan serantau bagi mendapatkan bantuan segera.

Sementara itu, di Johor Bahru, polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dengan kes samun dan curi kenderaan selepas mengejar kenderaan suspek selama 45 minit di Taman Nusantara, Gelang Patah, minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Supt Noor Hashim Mohamad berkata, dalam kejadian 9 malam, 3 Dis lepas, dua anggotanya mengalami kecederaan selepas motosikal yang mereka naiki dihimpit kereta Proton Satria dipandu suspek.

    

Katanya, kejadian bermula di sebuah stesen minyak di Taman Bukit Indah, di Johor Bahru apabila sepasukan anggota polis mengesan sebuah kereta yang dalam keadaan mencurigakan.

    

"Ketika cuba melakukan pemeriksaan, kereta terbabit yang dinaiki dua lelaki terus memecut laju dan melarikan diri.

    

"Semasa insiden mengejar, dua anggota kami terlibat dengan kemalangan apabila dihimpit kereta suspek," katanya sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya semalam/

Katanya, kereta suspek bersama pemandunya yang berusia 27 tahun berjaya ditahan di Taman Nusantara, Gelang Patah manakala seorang lagi suspek berjaya melarikan diri.

    

Jelas Noor Hashim, pemeriksaan lanjut di dalam kereta terbabit menemui pelbagai peralatan pecah rumah serta satu bungkusan plastik lutsinar yang dipercayai mengandungi dadah.

    

Kereta terbabit sebelum itu dilaporkan hilang di Tampoi.

    

"Hasil soal siasat, suspek mengaku terlibat dengan sekurang-kurangnya lima kes pecah rumah sejak tiga bulan lepas dan kami masih mengesan rakan suspek yang dikenali sebagai Man dengan alamat terakhir di Kampung Sungai Siam, Layang-Layang, Kluang," katanya.

    

Menurut Noor Hashim, kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan 279 Kanun Keseksaan.

    

Sementara itu di Tumpat, polis Kelantan melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah yang aktif di negeri ini susulan penahanan dua suspek bersama dadah dianggarkan bernilai RM49,975.

    

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata dua lelaki terbabit berumur 27 dan 34 tahun ditahan di hadapan sebuah premis perniagaan di Kampung Bendang Luas di Tumpat kira-kira pukul 8.15 malam tadi.

    

"Dalam serbuan yang dilakukan unit Task Force Narkotik itu, sejumlah 1,999 biji pil kuda ditemui dalam satu bungkusan seberat 199.9 gram dalam sebuah kereta," katanya kepada pemberita di pejabat Pasukan Polis Marin Pengkalan Kubor di Tumpat semalam.

Mazlan berkata sindiket itu yang dikenali sebagai "Geng Bendang" dipercayai bergiat aktif mengedarkan dadah jenis pil kuda sejak dua bulan lepas untuk pasaran tempatan.

    

"Kami percaya mereka menggunakan Kampung Bendang Luas sebagai lokasi utamauntuk melakukan aktiviti penjualan dan pengedaran dadah ke tempat lain. Dadahitu dibawa masuk melalui sempadan," katanya.

    

Menurut Mazlan sindiket itu juga dipercayai menjadi pembekal utama di daerah Kota Bharu, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang.    

    

Katanya modus operandi yang digunakan oleh geng berkenaan termasukmenggunakan khidmat bekas banduan untuk melakukan aktiviti pengedaran dadah.

    

"Kedua-dua suspek yang ditahan mempunyai kesalahan lampau dan suspek kini direman sehingga 14 Dis untuk membantu siasatan," katanya.

    

Polis kini memburu tiga lagi orang anggota kumpulan itu yang masih bebas, katanya.

Sementara itu, Mazlan memberitahu pemberita, polis tidak menolak kemungkinan dua tembakan yang dilepaskan ke Pejabat Pangkalan Marin Kastam di Jeti Penguatkuasaan Pengkalan Kubor sebagai angkara khianat.

    

Katana, kejadian itu berlaku kira-kira 1 pagi dan polis menjumpai dua lubang kesan tembakan pada cermin bahagian pantri pejabat berkenaan.

    

"Tembakan mungkin dilakukan dari jarak antara 20 dan 30m dari arah Sungai Golok. Berdasarkan kesan dan sudut tembakan pada cermin berkenaan, kemungkinan tembakan itu dilepaskan dari atas bot," katanya.

Mazlan berkata senapang angin dengan peluru bebola besi dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

    

Katanya dua pegawai kastam yang sedang bertugas dalam pejabat itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

    

Polis akan mendapatkan kerjasama pihak berkuasa Thailand untuk membantu siasatan kes itu, katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS