Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rayuan terakhir Khir Toyo terhadap hukuman penjara

Peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah membangkitkan di Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan Dr Khir Toyo hari ini, persoalan sama ada seorang menteri besar (MB) dan pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) harus dianggap sebagai 'penjawat awam'.

Muhammad Shafee berhujah mengikut Seksyen 21 Kanun Keseksaan, mengenai definisi penjawat awam, bahawa seorang MB tidak harus dianggap demikian.

Katanya, pertuduhan itu nampaknya dikenakan terhadap Khir sebagai pengerusi PKNS dan bukannya sebagai MB dan ia juga salah untuk mengistilahkan jawatan itu sebagai 'penjawat awam' kerana PKNS adalah sebuah badan korporat dan definisi seorang pengerusi tidak boleh dianggap sebagai seorang pegawai dalam PKNS sepertimana di bawah Seksyen 9 Enakmen PKNS.

Shafee (kanan) berkata, pihak pendakwa tidak meminda pertuduhan sepanjang perbicaraan dan dengan hanya mengenakan tuduhan terhadapnya sebagai pengerusi PKNS, ini memberi kesan prejudis terhadap Khir dalam tidak mendapat perbicaraan yang adil, kerana haknya untuk memanggil saksi lagi dalam pembelaannya, telah dinafikan.

Atas hujah itu sahaja, kata peguam itu, anak guamnya sepatutnya dibebaskan daripada tuduhan tersebut.

Panel lima orang hakim yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin mendengar rayuan terakhir Khir terhadap sabitan hukuman penjara 12 bulan.

Anggota panel yang lain ialah hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Ma'arop, Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha  dan Datuk Ramly Ali.

Bekas MB Selangor tiba pada kira-kira 8.50 pagi bersama-sama dengan isterinya, Zahrah Kechik.

Selain Shafee, Khir juga diwakili oleh peguam M Athimulan dan peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohd Masri Daud mengetuai pasukan pendakwa.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Disember 2011 menjatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan terhadap Khir dan memerintahkan hartanah yang terlibat dalam kes itu dirampas.

Dr Khir didapati bersalah menggunakan kedudukannya sebagai menteri besar dan pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk memperolehi tanah dan sebuah banglo bernilai RM3.5 juta dengan harga di bawah nilai pasaran.

Mahkamah Rayuan setahun kemudiannya mengekalkan keputusan mahkamah tinggi tersebut.

Kini, Mahkamah Persekutuan adalah peringkat akhir untuk Dr Khir merayu kesnya.

Shafee seterusnya berhujah bahawa apabila Shamsuddin membeli hartanah dengan harga RM6.5 juta, ia tidak berdasarkan nilai pasaran tetapi pada nilai emosi atau estetik.

Sebenarnya, kata Shafee, harga dua lot tanah itu sepatutnya RM5 milion kerana harta yang dibeli itu termasuk reka bentuk banglo Itali dan perabot sahaja dijual pada harga RM1.5 juta dalam perjanjian yang ditandatangani oleh Shamsuddin.

Peguam berkata, apabila Khir membeli dua lot tanah itu, tidak ada bangunan di atasnya tetapi hanya struktur rangka, kerana Shamsuddin telah merobohkan bangunan itu.

Menurutnya, penilaian di atas tanah yang dilakukan oleh seorang pegawai penilaian bernama Irhami menunjukkan bahawa ia bernilai RM4.3 juta. Penilai ini telah melawat tanah itu dan mengambil gambarnya.

Penilaian itu, tambahnya, tidak pernah melepasi paras RM4.5 juta, dan bayaran yang dibuat oleh anak guamnya sebanyak RM3.5 juta untuk membeli kedua-dua tanah itu adalah mencukupi kerana tidak ada struktur di atasnya.

Bagaimanapun, katanya, pihak pendakwa bergantung kepada laporan yang dibuat oleh Trans Asia - yang tidak melawat tapak itu atau mengambil gambarnya - pada harga RM6.5 juta, sedangkan tidak ada bangunan di sana pada waktu itu.

Oleh itu, Shafee berkata mahkamah tertinggi itu harus menerima bahawa Khir membayar harga harta itu pada nilai yang betul.

Sementara itu, peguam Kamarul Hisham menggesa panel hakim tersebut supaya melihat testimoni Shamsuddin dengan teliti kerana kredibilitinya dipersoalkan.

Ini berikutan selepas ia telah terbukti bahawa Shamsuddin telah memberi testimoni yang tidak betul apabila kenyataannya telah dirakamkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, apabila dia didakwa.

Peguam itu berkata Shamsuddin, dalam keterangannya telah membayangkan bahawa Khir melalui bahasa tubuhnya, telah memintanya (Shamsuddin) membeli hartanah itu pada harga RM6.5 juta.

"Macam mana bahasa badan seseorang boleh dianggap sebagai bukti," katanya.

Bagaimanapun, Hakim Tan dan Hakim Ahmad menegaskan bahawa Shamsuddin telah memberi keterangan di Mahkamah Tinggi bahawa Khir didakwa memberitahu pengarah Ditamas itu "Din kau belilah", apabila hartanah itu dibeli pada harga RM6.5 juta.

Kamarul Hisham berkata Shamsuddin memberi keterangan bahawa Khir tidak melawat hartanah tersebut dan dia melawat hartanah dulu sebelum Khir, dan ini menunjukkan bahawa saksi (Shamsuddin) mempunyai niat yang jelas untuk membeli tanah itu.

Beliau berkata keterangan Shamsuddin bahawa dia merasa terpaksa untuk menjual tanah itu kepada Khir kerana Khir adalah MB, juga harus ditolak oleh mahkamah kerana ini boleh dianggap sebagai 'dengar cakap' (hearsay).

Perbicaraan bersambung pada 19 Januari, dengan pihak peguambela akan meneruskan hujah mereka.

[Baca berita penuh/asal]

Lihat Komen
ADS