Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Veteran Umno Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, Datuk Seri Najib Razak harus diberi peluang menghabiskan mandat sebagai perdana menteri sehingga pilihan raya umum akan datang sebelum dinilai semula.

“Kita harus beri peluang kepada perdana menteri untuk teruskan tugasan beliau dan juga mandat beliau.

“Mandat beliau masih ada tiga tahun lagi (sebelum pilihan raya umum)," kata penasihat kerajaan dalam hal ehwal sosial dan kebudayaan itu.

Beliau diminta mengulas kenyataan bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad bahawa ramai lagi pemimpin dalam Umno layak menggantikan Najib sebagai perdana menteri.

Mahathir dalam wawancara dengan Sinar Harian (kanan) yang disiarkan semalam juga berkata pihak itu bagaimanapun “Umno tak bagi masuk”.

Beliau juga membangkitkan amalan cantas mencantas dalam parti Melayu itu yang menurutnya demi kepentingan diri.

'Tabah dan bersabarlah'

Sementara itu, Rais juga berharap tidak wujud "kata mengata" dalam isu itu walaupun ramai yang tertanya-tanya siapakah yang dimaksudkan Mahathir.

“Kalau Tun (Mahathir) dah sebut itu, sudah tentu kita nak tunggu siapa yang dimaksudkannya.

"Jadi kita tidak harus begitu cepat kata mengata bagi peringkat ini,” ujarnya.

Bercakap selepas merasmikan ekspo buku Malaysia di PWTC, Kuala Lumpur, Rais turut menasihatkan Najib bersabar dan tabah dalam menerima kritikan itu.

“Sebagai penasihat (kerajaan) saya tidak harus membuat pandangan yang begitu drastik tapi apa yang saya kata tadi, beri peluang kepada beliau untuk meneruskan kerjanya.

“Kalau komen itu diberi tak apalah, asalkan beliau (Najib) sabar dan menerima dengan tabah,” ujarnya.

Rais turut berkata, dalam mana-mana kerajaan pun, kesilapan tetap berlaku dan perdana menteri harus diingatkan tidak mengulanginya.

“Mana yang silap itu kita harus ingatkan perdana menteri kita tidak diulang tapi mana yang bagus dan baik harus kita beri markah kepadanya,” ujarnya.

Lihat Komen
ADS