Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli majlis tertinggi Umno, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, presidennya Datuk Seri Najib Tun Razak perlu lebih tegas dalam membawa pembaharuan dalam parti itu.

MP Pulai itu berkata, Najib juga perlu mendorong kepada perbincangan yang lebih ilmiah untuk meremajakan parti itu.

"Dia (Najib) perlu menjadi seorang pemimpin yang lebih tegas untuk memantapkan agendanya.

"Saya tahu saya akan hadapi masalah (jika bercakap begini). Tetapi ketika dia (Najib) cakap pembaharuan di dalam Umno, tak bermakna kita kena gantikan orang tua dengan orang muda.

"Dia (Najib) perlu lebih memberi galakan sekurang-kurangnya mengadakan perbincangan intelektual dan lebih berkompromi," katanya dalam forum Kebebasan Bersuara anjuran Majlis Peguam di Kuala Lumpur semalam.

Akta Hasutan kekal, muktamad

Dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno pada 27 November lalu, Najib mengumumkan bahawa kerajaan akan mengekalkan Akta Hasutan 1948, yang menerima kritikan meluas kerana tidak menepati janjinya pada tahun 2012 untuk memansuhkan akta tersebut.

Beliau menjelaskan bahawa keputusan untuk mengekalkan akta berkenaan dibuat demi tanggungjawabnya kepada anggota parti yang mahu ia dikekalkan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Seri Muhyiddin Yassin yang gembira dengan pengumuman tersebut dilaporkan berkata keputusan mengekalkan akta itu adalah muktamad dan tidak perlu dikaji semula.

Pengumuman itu menerima kritikan keras dari pelbagai pihak, termasuk dari duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Joseph Yun yang menyatakan kebimbangan sekiranya akta itu digunakan untuk menekan ahli politik pembangkang.

Puji Adam Adli

Sementara itu, Nur Jazlan turut memuji seorang lagi ahli panel forum tersebut, aktivis siswa, Adam Adli yang menurutnya mampu menjadi seorang pemimpin negara.

Katanya, Adam bijak berkata-kata, sama seperti sifat ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa mengetuai gerakan pelajar.

"Saya boleh katakan, dia (Adam) seorang yang bijak. Lelaki ini mungkin akan menjadi salah seorang pemimpin negara.

"Kenapa? Sebab dia berani untuk menjadi lain daripada yang lain. Itu yang dilakukan 25 tahun yang lalu oleh pemimpin sebelum ini seperti Anwar Ibrahim dan (presiden PERKASA, Datuk) Ibrahim Ali.

"Pada masa depan, generasi kamu akan membesar, akan berfikir perkara sama dan akan membawa perubahan dan semuanya terletak pada kamu," katanya lagi.

  

Lihat Komen
ADS