Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali berkata, beliau berfahaman sederhana dan bukannya seorang ekstremis seperti yang digelar oleh seorang bekas duta Malaysia.

Katanya, beliau berfahaman sederhana, sepertimana sikap ketua pegawai eksekutif The Star, Datuk Wong Chun Wai.

Beliau mengaitkan nama Wong ketika ditanya dalam satu sidang media hari ini mengenai kritikan bekas duta Malaysia ke Belanda, Noor Farida Ariffin ke atas PERKASA dan satu lagi kumpulan berhaluan kanan, ISMA.

Katanya, beliau juga seorang yang berfahaman sederhana jika tulisan Wong dianggap sebagai sederhana dan bukan ekstremis.

"Kalau dia sederhana, sederhanalah. Saya pun sederhana.

"Dengan Dong Zhong tak pula dia tegur. Lepas itu puak pembangkang ini pun dia tak tegur.

"Sama dengan 25 Melayu ternama ini kenapa dia tak tegur?," kata Ibrahim kepada pemberita.

Ibrahim pada penghujung November lalu mengancam untuk menyaman Wong atas satu tulisan yang didakwa memfitnah dirinya.

Menurut Ibrahim, beliau akan mengupas dan membidas kritikan kumpulan 'Melayu ternama' itu dalam persidangan agung tahunan PERKASA Ahad ini.
 
Sementara itu, Ibrahim bertegas akan meneruskan tindakan samannya terhadap Wong.
 
Menurut Ibrahim, beliau akan mengheret Wong ke mahkamah selepas Wong menjawab surat tuntutannya tetapi enggan menarik kembali rencananya sebelum ini.
 
Menurut Ibrahim, Wong pada 2 November lalu menerbitkan artikel yang didakwanya bersifat fitnah terhadapnya bertajuk 'A mind boggling spin'.
 
"Saya tak kata dia salah. Cuma saya nak minta mahkamah tentukan sama ada tulisannya itu bersifat fitnah atau tidak," kata Ibrahim.

Lihat Komen
ADS