Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
LAMPU tarik pengunjung malam ke Putrajaya
Diterbitkan:  Dec 13, 2014 12:00 PM
Dikemaskini: 11:45 AM

Penganjuran Light And Motion Putrajaya (LAMPU) 2014 yang bermula malam ini hingga Ahad akan lebih 'menghidupkan' suasana malam di Putrajaya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata sebelum ini Putrajaya sering dilabel negatif oleh pelbagai pihak tentang 'kelesuan' pusat pentadbiran ini selepas tamat waktu bekerja.

"Ini kerana seperti mana yang sedia maklum, sesetengah kawasan di Putrajaya terutamanya yang menempatkan pejabat-pejabat kerajaan kurang mendapat sambutan yang diisikan dengan pelbagai aktiviti untuk orang awam dan festival ini dilihat mampu menangani permasalahan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian LAMPU 2014 di hadapan Kompleks Perbadanan Putrajaya (Ppj).

Tengku Adnan berkata penganjuran kali ini hanya tertumpu di Presint 2 dan 3 yang melibatkan bangunan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Menara Usahawan, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Audit Negara, Istana Kehakiman, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin serta Kompleks PPj.

Bagaimanapun Tengku Adnan berkata pihak kementerian dan PPj juga mempunyai perancangan agar jumlah kawasan yang terlibat dapat dikembangkan kepada setiap bangunan di sepanjang Persiaran Perdana.

"Penganjuran pada masa hadapan akan turut mempelawa pelbagai pihak daripada sektor kerajaan dan swasta agar penganjurannya setanding dengan mana-mana penganjuran yang serupa di bandar-bandar utama dunia yang lain ," katanya.

Antara aktiviti yang akan berlangsung sempena LAMPU 2014 ialah permainan pencahayaan interaktif, pameran automotif bercahaya, kayuhan basikal dan beca bercahaya, mini expo IT serta forum.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS