Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Malaysia sudah bersedia sepenuhnya untuk menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Asean Ke-26, yang memberi makna besar bagi Malaysia apabila mengambil alih jawatan pengerusi Asean tahun depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kami berhasrat untuk melaksanakan langkah-langkah yang berdasarkan sepenuhnya kepada wawasan saya mengenai 'Asean berpaksikan rakyat'," katanya dalam catatan terbaharu beliau dalam laman Facebook malam ini.

Sidang kemuncak dua hari itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 26 dan 27 April depan.

Bagaimanapun, Najib berkata matlamat ke arah mewujudkan perpaduan, kestabilan dan kemakmuran serantau bukan usaha Malaysia semata-mata, sebaliknya ia adalah wawasan yang Malaysia mahu laksanakan.

"Kami juga akan berusaha ke arah merealisasikan matlamat menjadi satu komuniti sambil kami berkongsi aspirasi dalam aspek keselamatan politik, ekonomi dan sosiobudaya," kata beliau.

Terdahulu, Najib meluangkan masa hampir sejam meninjau semua venua utama bagi Sidang Kemuncak Asean Ke-26 di KLCC. Beliau diiringi Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin, bekas ketua setiausaha negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan para pegawai kanan Kementerian Luar.

Semasa tinjauan itu, Najib menyatakan rasa puas hati beliau dengan persiapan penganjuran Sidang Kemuncak Asean Ke-26, yang merupakan acara pertama diadakan selepas Malaysia mengambil alih jawatan pengerusi Asean daripada Myanmar bermula 1 Jan tahun depan.

Ketua Logistik Sekretariat Asean 2015 Datuk K. Ilankovan berkata persiapan termasuk penubuhan sekretariat logistik untuk memastikan semua perancangan dan pelaksanaan, berjalan lancar.

"Perdana Menteri mahu melihat sendiri kemudahan persidangan, antara lain venue bagi upacara pembukaan, jamuan malam dan bilik mesyuarat. Beliau juga memberi banyak idea dan arahan tertentu bagi penambahbaikan," kata Ilankovan kepada Bernama selepas tinjauan itu.

Beliau berkata Najib juga mengarahkan sekretariat itu menganjurkan Majlis Jamuan Gala bagi menonjolkan kelebihan unik Malaysia sebagai sebuah pusat pasaran multinasional Asean.

Selain Sidang Kemuncak Asean Ke-26 yang melibatkan badan serantau berusia 47 tahun itu, beliau berkata Malaysia akan juga menjadi hos Sidang Kemuncak Asean Ke-27 pada 19 hingga 21 Nov depan serta mesyuarat berkaitan dengan tujuh rakan dialog Asean termasuk Jepun, Korea Selatan, China, Australia, India dan Amerika Syarikat.

Untuk rekod, Malaysia pernah menjadi pengerusi Asean pada 1977 dan 2005.

Sebagai pembuka tirai, Pemukiman Menteri-menteri Luar Asean akan diadakan di Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu dari 27 hingga 28 Jan depan.

Pemukiman itu adalah yang pertama dalam siri mesyuarat-mesyuarat Menteri Luar Asean dan mesyuarat berkaitan di bawah penerajuan Malaysia sebagai Pengerusi Asean pada 2015.

Pada Pemukiman itu, Menteri-menteri Luar Asean dijangka membincangkan keutamaan Asean bagi 2015 dan Wawasan Komuniti Asean Pasca 2015.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS