Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kita harus mengucapkan penghargaan atas kajian kendalian bersama Merdeka Center dan Radio BFM.

Satu lagi usaha untuk meningkatkan kesedaran betapa pentingnya setiap daripada kita bersatu menangani isu ini.

Penemuan kajian ini mendapati sebahagian besar rakyat Malaysia, rata-rata mendapati gejala ini serius - persepsi yang sama seperti yang disaksikan sebelum ini.

Ada beberapa syor menarik untuk diteliti bersama. Sementara sebahagian besar mendapati rasuah masih serius, terdapat satu pandangan yang menarik untuk direnung bersama.

Justeru, perkongsian tulisan ini memfokus penemuan berhubung soalan terakhir kajian - sejumlah 67 peratus responden mendapati rakyat jelata boleh memainkan peranan bagi membasmi rasuah.

Dalam satu tinjauan pendapat dibuat menerusi laman web Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini, sekitar 95 peratus pengunjung melahirkan kesediaan menjadi sukarelawan jika diberi peluang bagi membanteras rasuah.

Dalam kata lain, kedudukan ini menunjukkan masih ada harapan untuk memerangi rasuah di negara ini.

Hasil kajian terbaru Merdeka Center-BFM tidak jauh berbeza daripada kajian-kajian lain sebelum ini iaitu negara belum bebas sepenuhnya daripada rasuah.

Sebagaimana jenayah-jenayah lain, negara masih berhadapan dengan masalah sosioekonomi ini.

Justeru, kita tidak perlu kecewa, terkilan atau tersinggung dengan hasil kajian terbaru ini.

Sebaliknya kita perlu menggunakan hasil kajian ini sebagai panduan untuk ke depan.

Sama-sama membantu negara menangani rasuah selari dengan tema Hari Antirasuah Antarabangsa 2014 - "Mematahkan Rantaian Rasuah" - dalam apa jua bentuk dan peringkat.

Adakah kita sudah bersedia atau hanya setakat cakap-cakap tanpa bertindak proaktif?

Sementara beberapa hasil kajian mengatakan jenayah rasuah masih wujud di negara ini, kita juga wajar meneliti hasil penemuan Laporan Daya Saing Global 2014-2015, yang menyenaraikan kedudukan Malaysia meningkat ke tangga 20 daripada kalangan 144 negara.

Laporan ini turut mengiktiraf bahawa Malaysia secara relatif berjaya dalam usaha memerangi soal rasuah dan birokrasi. Ini hasil kajian agensi antarabangsa berhubung keadaan di Malaysia.

Malaysia memperbaiki kedudukan daya saing negara berbanding di kedudukan ke-24 daripada 148 negara yang dicatat tahun lepas.

Menurut laporan itu yang dikeluarkan pada September lalu, Malaysia yang memperkenalkan strategi transformasi besar-besaran sejak 2009, muncul antara negara yang berjaya memerangi elemen rasuah dan birokrasi, yang sering menjadi perhatian ramai pihak.

Ulasan Laporan Daya Saing Global 2014-2015 ini merupakan satu lagi pengiktirafan antarabangsa ke atas SPRM dan khususnya Malaysia selepas penilaian Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Berkenaan Dadah dan Jenayah (UNODC) mengiktiraf kejayaan dan amalan baik negara dalam menangani isu rasuah.

Laporan UNODC menunjukkan agensi-agensi penguat kuasa Malaysia khususnya SPRM, PDRM, Jabatan Peguam Negara dan Unit Perisikan Kewangan, Bank Negara memperlihatkan komitmen yang tinggi bagi memerangi rasuah dan kerjasama peringkat antarabangsa.

Sementara pelbagai pihak dalam dan luaran membuat hasil kajian, yang kadangkala menggembirakan kita dan kadang kala sebaliknya, rakyat sama ada orang biasa ataupun yang berkedudukan tinggi, perlu mengambil ikrar untuk menjauhi rasuah.

Rakyat ada opsyen untuk tidak memberi rasuah. Malah, ia harus menjadi satu kemestian. Dijadikan satu kewajipan. Jangan memberi rasuah dan jangan menerima rasuah.

Dalam satu pandangan diutarakan dalam media tempatan baru-baru ini, Prof Madya Dr P Sundramoorthy berkata:

"Setiap orang bercakap mengenai usaha memerangi rasuah, tetapi adakah kita benar-benar menangani isu ini?"

Seperti yang dikatakan oleh beliau, kita kena mengakui rakyat selalu mengambil jalan mudah apabila membabitkan kepentingan diri sendiri. Ini demi keselesaan mereka.

Perkara ini secara tidak langsung dibuktikan dalam kajian Merdeka Center.

Kajian KPMG 2013 menunjukkan 61 peratus responden mengakui organisasi masing-masing tidak ada mekanisme yang mencukupi bagi menutup ruang dan peluang jenayah rasuah.

Justeru, kajian itu menyebut perlu ada kajian semula atau memperbaiki kawalan dalaman (74 peratus), mewujudkan garis panduan berkaitan pembayaran atau penerimaan hadiah, perjalanan dan hospitaliti (49 peratus), mewujudkan mekanisme komunikasi efektif bagi menzahirkan toleransi sifar ke arah aktiviti berunsur rasuah (39 peratus), dan menyediakan sumber audit dalaman bagi kawalan rasuah dan sogokan (33 peratus ).

Justeru, banyak kajian dijalankan. Banyak penemuan digariskan.

Kita perlu memulakan langkah perubahan. Bertindak sekarang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS