Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ismail: LGE cuba jadi hero kerana p'raya S'wak
Diterbitkan:  Dec 15, 2014 8:50 AM
Dikemaskini: 3:05 AM

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bukanlah ketua agama Islam negeri itu dan beliau tidak boleh sewenang-wenangnya memberi kebenaran kepada orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah.

    

Beliau berkata bagi Pulau Pinang, hanya Yang di-Pertuan Agong mempunyai bidang kuasa membuat keputusan mengenai hal-ehwal Islam termasuk mengenai penggunaan kalimah Allah.

    

Ismail Sabri (kiri) yang juga menteri pertanian dan industri asas tani melihat kenyataan Lim memberi kebenaran kepada orang bukan Islam di negeri itu menggunakan kalimah Allah sebagai bermotifkan politik bagi meraih sokongan orang bukan Islam menjelang pilihan raya negeri Sarawak akan datang.

    

"Guan Eng cuba nak jadi hero sebab pilihan raya Sarawak... cuba laga-lagakan antara Umno dengan masyarakat bukan Islam di Sarawak.

"Dia tidak pedulikan perpecahan antara orang Islam dan bukan Islam ekoran kenyataan (kalimah Allah) ini. Yang penting baginya adalah kepentingan politiknya," katanya pada sidang akhbar selepas menutup Karnival Produk dan Perkhidmatan Koperasi Malaysia (MACCOPS) 2014 di Shah Alam semalam.

Lim (kanan) dilaporkan beberapa portal berita pada Jumaat lepas, sebagai berkata orang bukan Islam di Pulau Pinang boleh menggunakan kalimah Allah kerana tiada peruntukan Enakmen Negeri yang melarang mereka berbuat demikian.

Kelmarin, Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata beliau mahu berjumpa dengan Lim bagi memberi penjelasan tentang isu penggunaan kalimah Allah kepada orang bukan Islam di negeri itu.

    

Beliau berkata Majlis Fatwa Pulau Pinang telah mewartakan perkataan Allah serta 40 lagi perkataan lain berkaitan Islam yang tidak boleh diguna pakai untukorang bukan Islam di negeri itu.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman (kiri) berkata kenyataan Guan Eng bahawa orang bukan Islam di Pulau Pinang boleh menggunakan kalimah Allah, jelas menunjukkan beliau tidak faham tentang bidang tugas, tanggungjawab dan undang-undang pentadbiran agama Islam di negara itu.

Katanya, sepatutnya Lim merujuk kepada mufti negeri, Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) dan Exco agama negeri, terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan mengenai pentadbiran agama Islam di negeri ini.

    

"Tindakan beliau (Lim) mengatakan bahawa Seksyen 48(3) dan Seksyen 48(4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004 yang telah diwartakan pada April 2010 tidak boleh dikuatkuasakan atau terpakai ke atas orang bukan Islam adalah satu tindakan provokatif terhadap sensitiviti umat Islam yang boleh mencetuskan ketegangan antara agama di negeri ini.

    

"Ia juga menunjukkan kekeliruan dan kejahilan ketua menteri sendiri berhubung penguatkuasaan fatwa di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004 yang telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah," katanya dalam kenyataan semalam.

    

Zainal Abidin berkata kenyataan Lim itu juga bercanggah dengan kenyataan bekas pengerusi DAP, mendiang Karpal Singh pada Januari lepas yang telah meminta ketua menteri dan kerajaan negeri mendapatkan semakan kehakiman kerana fatwa larangan itu terpakai terhadap orang bukan beragama Islam di Pulau Pinang.

    

"Keputusan Majlis Fatwa Pulau Pinang adalah selari dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan pada Mei 2008 dan juga keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes larangan penggunaan kalimah Allah oleh majalah The Herald," katanya.

    

Katanya Seksyen 3 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004 juga dengan jelas menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam di dalam Negeri Pulau Pinang sebagaimana yang ditetapkan dan dinyatakan dalam perlembagaan negeri Pulau Pinang.

    

"Kuasa eksekutif Yang di-Pertuan Agong hanya boleh diturunkan kepada Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas. Oleh yang demikian Ketua Menteri Pulau Pinang tidak mempunyai bidang kuasa dalam pentadbiran agama Islam di Pulau Pinang," katanya.

    

Beliau berkata pihaknya turut mendesak Yang Dipertua MAIPP Datuk Salleh Man dan Exco Agama negeri Datuk Abdul Malik Abul Kassim untuk menjelaskan pendirian mereka terhadap kenyataan Lim supaya tidak timbul sebarang kekeliruan dalam kalangan umat Islam di negeri ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS