Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ahmad: Ringgit susut tak jejas ekonomi M'sia
Diterbitkan:  Dec 15, 2014 5:14 PM
Dikemaskini: 9:26 AM

Penyusutan nilai ringgit berbanding mata wang dolar Amerika dan dolar Singapura tidak menjejaskan ekonomi Malaysia, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Ini kerana, katanya, nilai ringgit secara jangka panjang kekal stabil dan masih mampu mengukuh berbanding beberapa mata wang utama seperti Yen dan Euro.

Ahmad berkata satu taklimat antara Bank Negara Malaysia dan kementerian itu telah diadakan baru-baru ini bagi membincangkan impak kelemahan ringgit dan kemungkinan penyusutan pendapatan negara berikutan harga minyak dunia yang semakin lemah.

Hasil perbincangan menunjukkan keadaan masih tidak membimbangkan dan tiada semakan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) akan dibuat dalam masa terdekat.

Namun, katanya, kerajaan tetap akan meneliti impak negatif permasalahan ini dan pengumuman akan dibuat jika perlu.

“Penyusutan dan pengukuhan ringgit ini bukan hanya perlu dilihat pada satu sudut yang negatif tetapi kalau kita lihat dari sudut pelancongan dan eksport yang bertambah, ia bukan hanya mendatangkan sesuatu yang negatif tetapi juga mendatangkan sesuatu yang positif pada sektor-sektor tertentu," katanya selepas menyaksikan majlis permeteraian perjanjian pembangunan hospital kanak-kanak permata, Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini.

Mengenai Bajet 2015, Ahmad berkata sehingga kini ia masih berada di landasan yang betul meskipun Petronas baru-baru ini menyatakan kemungkinan pembahagian dividen kepada kerajaan akan dikurangkan jika harga minyak terus kekal pada tahap sekarang.

Menurutnya, ini kerana bebanan subsidi dijangka berkurangan hasil penstrukturan semula subsidi baru-baru ini.

Pada tahun ini sahaja, katanya, beban subsidi telah berkurang kepada RM19 bilion berbanding RM23.5 bilion tahun lalu.

Beliau juga tidak melihat sebarang kelewatan dalam mana-mana pembinaan mega projek yang telah diumum pada masa kini.

- Bernama 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS