Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mesyuarat tergempar MIC Khamis ini
Diterbitkan:  Dec 15, 2014 6:00 PM
Dikemaskini: 10:24 AM

MIC akan mengadakan mesyuarat tergempar Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) pada hari Khamis ini untuk membincangkan kemelut parti ekoran arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya MIC mengadakan pemilihan semula semua jawatan.

Setiausaha agung parti, A. Prakash Rao berkata mesyuarat akan bermula pada jam 2 petang dengan para pegawai tertinggi MIC, anggota jawatankuasa pemilihan dan peguam.

"Notis untuk menghadiri mesyuarat telah diedarkan kepada semua anggota bagi membincangkan arahan ROS untuk mengadakan pemilihan semula bagi 23 jawatan anggota CWC dan tiga jawatan naib presiden," kata beliau kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Jumaat lepas, Presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel, yang juga menteri sumber asli dan alam sekitar, berkata mesyuarat antara lain akan membincangkan

"beberapa ketidakpastian" dalam surat ROS yang diserahkan kepada setiausaha agung parti pada 5 Disember.

Pada 5 Disember, ROS mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula bagi 23 jawatan anggota CWC dan tiga jawatan naib presiden dalam tempoh 90 hari berikutan aduan mengenai penyalahgunaan kuasa dan perlakuan yang melanggar perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan.

ROS mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula bagi lapan bahagian dalam tempoh 60 hari iaitu Bayan Baru, Bukit Gelugor, Subang, Bandar Baru Kulim, Taiping, Tambun, Sepang dan Jasin.

   

ROS juga mengarahkan parti mengadakan pemilihan semula untuk jawatan Timbalan Pengerusi MIC Bahagian Batu Kawan, jawatan pengerusi MIC Bahagian Kota Raja, jawatan pengerusi Bahagian Tanjung Malim dan jawatan pengerusi bahagian Taman Koperasi Polis dalam tempoh 30 hari.

Dua cawangan - Merlimau Utara dan Rumah Pangsa Pekeliling Selatan – juga akan mengadakan pemilihan semula dalam tempoh 30 hari.

ROS menasihatkan MIC supaya menangguhkan perhimpunan agung tahunan sehingga masalah itu diselesaikan.

MIC sepatutnya mengadakan perhimpunan agung tahunannya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula dengan sayap Wanita, Putera dan Puteri Ahad lepas dengan perhimpunan agung parti dijadualkan pada 13 dan 14 Dis.

Pemilihan MIC tahun lepas menyaksikan perebutan antara lapan pemimpin kanan bagi jawatan tiga naib presiden sementara 88 calon, antara mereka dua wanita, bertanding bagi 23 jawatan dalam CWC.

Pemilihan bagi jawatan naib presiden dimenangi oleh Datuk S. Sothinathan, Datuk M Saravanan dan Datuk S Balakrishnan. 

   

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS