Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MBI bentang laporan audit pada MB minggu ini
Diterbitkan:  Dec 15, 2014 7:00 PM
Dikemaskini: 11:06 AM

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata laporan audit berhubung pembayaran pampasan kepada beberapa pegawai bekas menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan dibentangkan Perbadanan Menteri Besar (MBI) kepadanya minggu ini. 
 
Mohamed Azmin berkata pihaknya akan meneliti keputusan laporan siasatan pembayaran tersebut yang didakwa tidak mematuhi prosedur, sebelum sebarang  tindakan susulan diambil. 
 
"Mereka (Lembaga Pengarah MBI) telah pun menyiasat perkara itu dan laporan tersebut akan dibentangkan kepada saya dalam minggu ini untuk tindakan  selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kakitangan kerajaan Selangor di Shah Alam hari ini. 
 
Sebelum ini, lapan pegawai kontrak bekas menteri besar itu yang dilantik MBI dilaporkan menerima bayaran pampasan kerja bernilai RM2.6 juta.
 
Pembayaran itu disifatkan pelbagai pihak termasuk anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad sebagai tidak munasabah. 
 
Pembayaran itu didakwa telah dibuat pada penghujung tempoh perkhidmatan Abdul Khalid sebelum Mohamed Azmin mengambil alih jawatan menteri besar berkuat kuasa 23 September lepas. 
 
Bagaimanapun Abdul Khalid berkata pembayaran pampasan itu mengikut skim pemberhentian sukarela (VSS), mematuhi peraturan dan prosedur MBI Selangor.
 
- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS