Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ulama PAS dakwa DAP cuba retak Pakatan
Diterbitkan:  Dec 16, 2014 12:55 PM
Dikemaskini: 7:49 AM

Sikap DAP yang berterusan mempertikai hak PAS memperjuangkan pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan dianggap satu percubaan meretakkan hubungan di kalangan Pakatan Rakyat, dakwa Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali

Sambil menyifatkannya sebagai "sangat tidak baik dan tidak wajar" , beliau berkata DAP perlu menghormati hak demokrasi PAS untuk berbeza pandangan sekaligus menganggap langkah DAP itu memberi modal kepada Umno dan BN untuk terus bernafas.

Mohd Khairuddin berkata tindakan DAP itu juga dilihat sebagai "siri berangkai" terhadap beberapa lagi tindakan mereka yang didakwanya mempertikaikan PAS termasuk krisis menteri besar Selangor.

"Persefahaman bersama antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat adalah untuk menentang polisi-polisi pincang dalam pentadbiran kerajaan BN yang memberi kesan kepada kehidupan seharian rakyat.

"Dasar-dasar bersama yang boleh dikompromi menjadi sebahagian manifesto bersama dalam PRU berasaskan konsep Negara Berkebajikan dan Negara Adil Untuk Semua.

"Dalam masa yang sama setiap parti menghormati perbezaan dasar dan perjuangan yang dipegang oleh setiap parti. Hal ini adalah asas kepada persefahaman Pakatan," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau berharap supaya pemimpin DAP lebih berhemah mengeluarkan kenyataan khususnya melibatkan dasar PAS kerana boleh mengundang respon balas daripada pimpinan dan ahli parti.

Katanya, usaha kerajaan PAS di negeri itu untuk melaksanakan undang-undang jenayah Islam termasuk Hudud adalah sebahagian perjuangan parti itu PAS yang tidak boleh ditawar-menawar.

Malah, katanya undang-undang itu juga telah dikanunkan pada 1993 di Kelantan dan di Terengganu pada 2002 jauh sebelum kewujudan Pakatan Rakyat.

"Menjadi hak PAS untuk terus memperjuangkan pelaksanaan undang-undang ini di dua negeri majoriti umat Islam Kelantan dan Terengganu dengan pelaksanaannya terhadap penjenayah di kalangan orang Islam sahaja menerusi Mahkamah Syariah melainkan jika penjenayah bukan Islam juga meminta untuk dilaksanakan ke atas mereka atas prinsip perundangan "mutatis mutandis"" katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS