Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Selepas PasMa, PAS pantau Geng Ustaz pula
Diterbitkan:  Dec 16, 2014 3:27 PM
Dikemaskini: 7:31 AM

Selain memantau kegiatan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), PAS juga akan meneliti kegiatan sebuah lagi NGO kontroversi yang digerakkan anggota parti itu, dikenali sebagai Geng Ustaz (GU).

Difahamkan langkah itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS kelmarin dan pekeliling berkaitan kini diedar kepada setiausaha PAS di negeri-negeri.

Pekeliling tersebut ditandatangani Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali.

Dalam pekeliling itu, menurut sumber, jawatankuasa khas dipengerusikan Naib Presiden Salahudin Ayub akan bertemu GU untuk memantau kegiatan mereka dari masa ke semasa.

Penggerak dan aktivis PasMA sebelum ini sudah beberapa kali membangkitkan persoalan kenapa hanya mereka sahaja yang menjadi mangsa “penguatkuasaan” PAS.

Sedangkan, kata mereka, kenyataan lebih keras berkaitan pergolakan dalaman PAS sering ditimbulkan oleh GU.

Terima larangan sertai PasMA

GU dipelopori ulama-ulama muda PAS dan diketuai oleh Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Perak Norazli Musa.

GU dan PasMA wujud ketika krisis menteri besar Selangor memuncak sebelum ini.

Kumpulan itu sebelum ini mencuri perhatian selepas menganjurkan solat hajat menyokong kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor, ketika Pakatan memilih calon lain.

Dilihat mewakili kepentingan kumpulan proulama PAS, GU lantang menentang kemunculan PasMa yang digerakkan anggotanya yang dikatakan pro-Pakatan.

Pada 24 November lalu, Salahuddin mengadakan pertemuan dengan pemimpin PasMA ekoran wujudnya 'keresahan' selepas Majlis Syura PAS melarang anggota parti itu terlibat dengan NGO itu.

PasMa yang diketuai bekas exco Kedah dan ADUN PAS Pengkalan Kundor Datuk Phahrolrazi Zawawi sejak Ogos lalu, mencetuskan polemik baru dalam PAS.

Ia malah mendapat perhatian pelbagai pihak dan menjadi subjek perbahasan pada muktamar parti itu di Johor baru-baru ini.

Sementara itu, Malaysiakini difahamkan mesyuarat jawatankuasa pusat PAS Pusat Sabtu lalu juga menerima larangan Majlis Syura demi "keutuhan dalaman".

Lihat Komen
ADS