Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PR1MA lapor polis ada pihak dakwa jadi ejennya
Diterbitkan:  Dec 16, 2014 8:00 PM
Dikemaskini: 12:13 PM

Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) telah membuat laporan polis berikutan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab mendakwa menjadi ejen PR1MA.
 
"Mereka ini menipu orang ramai, kononnya mewakili PR1MA dan mengutip sumbangan dari orang ramai yang berkeinginan mahukan rumah mampu milik," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
 
"Saya harap agar orang ramai tidak mudah terpedaya dengan surat-surat yang dikeluarkan atas nama kononnya mereka ini mewakili PR1MA atau melaksanakan projek perumahan itu," katanya.
 
Perdana menteri berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perumahan Negara di Putrajaya hari ini.
 
Sementara itu Pengerusi PR1MA, Tan Sri Dr Jamaludin Jarjis berkata pihaknya tidak pernah melantik mana-mana ejen bagi proses pembelian rumah berkenaan.
 
"Ada orang salah guna (projek PR1MA) kononnya bayar RM2,000 boleh dapat (permohonan) rumah PR1MA, tapi yang sebenarnya orang awam hanya perlu mendapatkan permohonan secara online atau pergi pejabat kita isi borang, tidak kena apa-apa bayaran," katanya.
 
Beliau berkata mana-mana pemaju yang ingin bekerjasama dengan PR1MA juga diminta hadir berjumpa pihak pengurusan PR1MA sendiri untuk sebarang pertanyaan.
 
"Kita tak lantik wakil pemaju untuk buat rumah PR1MA atau ejen nak membeli rumah," katanya sambil menambah kerajaan memberi jaminan harga rumah PR1MA adalah 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran.
 
Kediaman PR1MA ditawarkan kepada semua rakyat Malaysia dengan pendapatan isi rumah purata bulanan antara RM2,500 hingga RM10,000.
 
- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS