Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Polis akan mengambil tindakan terhadap perwakilan Umno yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan ketika persidangan agung Umno lalu sekiranya mereka didapati bersalah, kata  Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Kalau didapati ini adalah satu kesalahan, (polis) akan ambil tindakan sama seperti orang lain,” katanya.

Sebelum ini, bekas timbalan menteri, Datuk Mashitah Ibrahim dalam ucapannya di PAU dilaporkan mendakwa ada orang Cina di Kedah membakar al-Quran untuk upacara sembahyang mereka.

Manakala wakil Umno Pulau Pinang, Mohd Zaidi Mohd Said (kiri) pula dilaporkan berkata masyarakat Cina di Pulau Pinang menempa kejayaan hasil perniagaan haram.

Junaidi berkata siasatan akan dijalankan apabila terdapat pihak yang membuat laporan.

“Jadi perundangan kita mudah sahaja, (bagi) kementerian dan polis diraja malaysia, apabila ada satu perkara yang berlaku dan laporan dibuat, kita akan buat sisasatan.

"Sama ada menjadi satu kesalahan... sama ada boleh dituduh ke mahkamah, mengikut garis panduan yang ada pada kita, perlu kita terima juga apa pendapat AG (peguam negara).

“Nilai sama ada fakta-fakta undang-undang telah cukup dalam pertuduhan itu. Kalau tidak mencukupi, peguam negara berhak untuk tidak mendakwa orang tertentu,” katanya.

Program 6P

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas menerima resolusi dari Majlis Profesor Negara (MPN) mengenai dilema negara: isu dan cabaran pekerja asing di Malaysia, malam tadi.

Mengenai Program pemutihan '6P', Junaidi berkata ia berjaya kerana ramai antara mereka sudah ditapis sebelum masuk kembali ke Malaysia.

Program 6P merujuk kepada pendaftaran, pemutihan, pengampunan, pemantauan, penguatkuasaan dan pengusiran melibatkan pekerja asing tanpa izin.

“6P kalau dilihat dalam beberapa sudut, ia berjaya. Kalau kita lihat, dapat tapis satu juta lebih pendatang asing ke Malaysia yang pada masa itu pendatang tanpa izin.

“Kalau dilihat dari sudut pengumpulan maklumat yang kita simpan dalam data kita, kita berjaya menanganinya.

“Kita berjaya memutihkan setengah juta pekerja, kita serapkan yang telah datang (secara) haram, kita putihkan mereka dan kita berikan pekerjaan di hampir semua sektor,” katanya.

Lihat Komen
ADS