Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Presiden Geng Ustaz (GU) Norazli Musa berkata, beliau terkejut apabila pertubuhan yang diketuainya itu dikaitkan dengan 'perseteruan' dengan NGO kontroversi Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa).

Beliau merujuk kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS, Ahad lalu yang turut mengarahkan jawatankuasa khas diketuai Naib Presiden Salahudin Ayub, mengadakan pertemuan dengan mereka.

Keputusan itu turut dimaklumkan kepada setiausaha PAS negeri-negeri, melalui satu pekeliling yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali kelmarin, yang turut memantau GU.

"Kita terkejut sebab keputusan mesyuarat itu adalah tentang PasMa, tetapi turut mengarahkan jawatankuasa khas bertemu Geng Ustaz.

"Saya rasa sedikit kesal kenapa kaitkan kami dengan PasMa. Kami tidak pernah pun bertemu atau berbincang dengan PasMa," kata Norazli ( kiri ) ketika dihubungi Malaysiakini .

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Perak itu juga bagaimanapun menjelaskan, pihaknya bersedia untuk bertemu dan memberi kerjasama dalam pertemuan itu.

"Kita belum dapat apa-apa surat lagi tentang pertemuan itu. Apapun kita bersedia," katanya.

Misi 'dukung ulama'

Penggerak dan aktivis PasMA sebelum ini sudah beberapa kali membangkitkan persoalan kenapa hanya mereka sahaja yang menjadi mangsa “penguatkuasaan” PAS.

Sedangkan, dakwa mereka, kenyataan lebih keras berkaitan pergolakan dalaman PAS sering ditimbulkan oleh GU.

GU dan PasMA popular ketika krisis menteri besar Selangor memuncak sebelum ini.

GU mencuri perhatian selepas menganjurkan solat hajat menyokong kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor, ketika Pakatan memilih calon lain.

Dilihat mewakili kepentingan kumpulan proulama PAS, GU lantang menentang kemunculan PasMa yang digerakkan anggotanya yang pro-Pakatan.

Bagaimanapun, menurut maklumat rasmi di blog,GU mula bergerak pada Mac 2012 dengan matlamat mengembleng tenaga “melahirkan kecintaan bersama ulama” selain mengerakkan kerja dakwah dan kebajikan.

Ia didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 18 September lalu atas nama "Pertubuhan Pendukung dan Pencinta Ulamak.

Lihat Komen
ADS