Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sekumpulan NGO hari ini menyatakan sokongan terhadap 25 tokoh Melayu ternama yang menyeru ke arah kesederhanaan dan meminta agar perbincangan terbuka berkaitan undang-undang Islam.

NGO  yang menyokong antaranya Asalkan Bukan Umno (ABU), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Jihad for Justice dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Mereka mendakwa mewakili 93 NGO yang menyokong surat terbuka 25 tokoh Melayu ternama itu.  

Bagaimanapun, hanya kira-kira 20 wakil sahaja yang hadir dalam sidang media mereka hari ini di ibu negara.

Naib Presiden IKRAM Zaid Kamaruddin berkata kumpulan NGO itu memuji tindakan berani 25 tokoh ternama yang tampil  menyuarakan kebimbangan berhubung isu sensitif termasuk penggunaan Akta Hasutan 1948.

 

"Kami memuji tindakan berani tokoh-tokoh ini untuk tampil ke hadapan dan membincangkan secara terbuka isu-isu yang sensitif yang melanda negara kita.

"Kami juga amat bersetuju dengan surat mereka yang memberi amaran bahawa penggunaan Akta Hasutan kekal sebagai ancaman untuk mengunci mulut mereka yang berbeza pendapat," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jihad for Justice Datuk Thasleem Mohamed pula meminta lebih banyak penyertaan NGO daripada pelbagai etnik bersama mereka.

Penyertaan NGO India terhad

Ini termasuk NGO daripada masyarakat India yang dilihatnya terhad supaya bersama-sama memberi sokongan kepada kumpulan tokoh ternama itu.

"Semua NGO di Malaysia digerakkan untuk memberikan sokongan. Tetapi NGO bagi masyarakat India dilihat terhad dan tidak mewakili 93 NGO ini," katanya.

Ditanya pandangan kumpulan NGO itu terhadap PERKASA dan ISMA, Thasleem berkata dua pertubuhan itu sepatutnya tidak perlu mendapat liputan yang meluas daripada media.

"Mereka sepatutnya tidak perlu mendapat liputan daripada media. Biarkan mereka "mati" (dying) dan biarkan media yang nak mati juga menyokong mereka.

"PERKASA dan ISMA tidak menjadi isu pun dan mereka bukan entiti," katanya.

Minggu lalu, seramai 25 Melayu ternama mencuri perhatian umum selepas menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menunjukkan kepimpinan terhadap suara-suara yang tidak bertoleransi dalam negara.

Pada Ahad lalu, PERKASA turut memperkecilkan kumpulan 25 orang Melayu itu dengan mengatakan bahawa dalam pertubuhan itu terdapat ratusan orang yang lebih hebat daripada tokoh tersebut.

Lihat Komen
ADS