Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
5 lelaki didakwa merusuh di Stadium Shah Alam
Diterbitkan:  Dec 17, 2014 3:14 PM
Dikemaskini: 9:56 AM

Lima lelaki termasuk dua beradik hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan merusuh semasa perlawanan bola sepak separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Shah Alam pada 7 Disember lepas.

   

Kelima-lima tertuduh iaitu Amirul Akmal Nooradzhar, 22; Zulhelmy Akmal Zainol Abidin, 28; Muhammad Naquiyuddin Sallehuddin, 19, serta dua adik beradik Mohd Aminuddin Hamdan, 34, dan Noor Hadi Hamdan, 29, didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama-sama beberapa orang lagi yang masih bebas didakwa merusuh dengan menyerang penyokong pasukan bola sepak Vietnam menggunakan kekerasan di kawasan Quadrant A, Stadium Shah Alam pada pukul 9.50 malam.

   

Majistret Ellyana Razali membenarkan mereka masing-masing diikat jamin RM2,800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Januari depan untuk sebutan semula kes.

   

Ellyana turut memerintahkan kelima-lima tertuduh menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

   

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip yang mengendalikan pendakwaan memohon supaya mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 ke atas setiap

tertuduh dengan seorang penjamin.

   

Namun peguam M. Hafiz Zainol Abidin yang mewakili Mohd Aminuddin, Noor Hadi dan Zulhelmy Akmal dalam hujahan balas memohon mahkamah untuk mengurangkan jaminan tiga anak guamnya atas alasan gaji bulanan yang diperoleh mereka rendah dan tidak mampu menampung pembayaran jaminan tersebut.

   

Menurutnya, Mohd Aminuddin hanya bekerja sebagai penjual sate dan berpendapatan tidak menentu serta terpaksa menanggung isteri dan dua anaknya manakala Zulhelmi yang bekerja sebagai penghantar surat juga berpendapatan rendah dan menanggung isteri serta seorang anak.

   

Tambahnya, Noor Hadi pula hanya bekerja membantu bapanya yang mengusahakan kebun dan pendapatan bulanan bergantung kepada elaun yang diberikan Felda.

   

Peguam Muhammad Hidhir Mustapa yang mewakili Muhammad Naquiyuddin pula berkata anak guamnya masih menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam di Nilai, Negeri Sembilan manakala seorang lagi anak guamnya Amirul Akmal hanya meraih pendapatan bulanan RM1,000 sebagai pekerja bahagian kargo di Lapangan Terbang Senai, Johor.

Dalam insiden pada 7 Disember lepas, sekumpulan penyokong Harimau Malaya, yang kecewa setelah Malaysia kalah 1-2 kepada Vietnam, dikatakan melakukan provokasi dengan membaling objek ke arah penyokong Vietnam.

   

Ketika kekecohan itu, seorang penyokong Vietnam mengalami kecederaan dan susulan itu, sembilan lelaki ditahan reman pada Jumaat lepas bagi membantu siasatan.

   

Empat lagi suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis.

- Bernama

Lihat Komen
ADS