Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
22 Melayu muda tampil sokong 'Melayu 25'
Diterbitkan:  Dec 17, 2014 7:15 PM
Dikemaskini: 11:19 AM

Selepas 93 NGO menyatakan sokongan kepada 25 tokoh Melayu ternama, kini 22 aktivis muda Muslim pula tampil memberikan sokongan.

Dukungan itu dinyatakan melalui kenyataan media bersama, yang antaranya membariskan bintang muda DAP Dyana Sofya Mohd Daud ( bawah ), bekas calon PKR di Alor Setar Eekmal Ahmad dan aktivis Ahmad Fuad Rahmat.

Dalam kenyataan itu, mereka menyeru supaya orang Islam yang menyokong prinsip demokratik dan kesederhanaan supaya “memelihara maruah agama” daripada dicemari golongan yang mahu menjadikan hukum-hakam agama sebagai paksaan.

Mereka menegaskan, dialog terbuka satu-satunya jalan penyelesaian masa kini bagi mengelak berlakunya fitnah terhadap Islam.

"Kegagalan kita untuk bersuara hanya membuka ruang kepada golongan yang mentafsirkan agama secara sempit dan akhirnya akan membawa aib tidak tertanggung oleh semua penganut Islam," kata kenyataan itu.

Kumpulan 22 orang itu juga menegaskan bahawa Islam meraikan kepelbagaian pandangan dan jika pandangan agama dijadikan undang-undang, maka ruang berbeza pandangan akan hilang.

Malah, kata mereka, penerapan undang-undang Islam secara melulu tanpa melalui proses perundingan akan memberi impak besar terhadap rakyat Malaysia tidak kira sama ada Muslim atau bukan Muslim.

"Tiada yang menguntungkan jika Islam dilihat sebagai agama pemaksa yang tidak peduli terhadap hak kaum dan penganut agama lain mahu pun terhadap perubahan zaman,” kata mereka.

Lihat Komen
ADS