Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno guna Karpal sebagai perisai di PP
Diterbitkan:  Dec 18, 2014 12:33 PM
Dikemaskini: 9:54 AM

Umno Batu Kawan hari ini menepis kecaman pemimpin kontroversinya Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang menyalahkan pemimpin negeri ekoran kekalahan BN di negeri itu sejak dua penggal lalu.

Ketua Umno Batu Kawan Mohd Noor Ahmad berkata perkara itu bukan isu kerana pemimpin kanan DAP seperti Lim Kit Siang dan mendiang Karpal Singh sendiri pernah tewas di negeri itu.

“Mendiang Karpal Singh dan Lim Kit Siang juga pernah tewas dalam pilihan raya di Pulau Pinang dan ia tidak menjadi isu bagi parti mereka.

“Yang penting gerak kerja diteruskan untuk pilihan raya berikutnya,” katanya menjawab kenyataan Khairuddin, yang juga naibnya, yang disiarkan Malaysiakini semalam.

Khairuddin ( atas ) semalam memberi amaran bahawa BN mungkin kalah lebih teruk dalam pilihan raya akan datang kerana Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak melantik pemimpin "tidur".

Dalam wawancara dengan Malaysiakini , beliau secara terbuka menggesa agar Pengerusi Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman ditukar kerana “tidak proaktif” dan “tidak turun ke akar umbi”.

Khairuddin menarik perhatian ramai apabila melawan arus Umno dengan membuat laporan polis terhadap 1MDB - badan pengurusan dana cetusan Najib dan milik penuh Kementerian Kewangan.

Khairuddin hilang sentuhan

Menurut Mohd Noor lagi, Zainal tewas dalam pilihan raya umum (PRU) lalu kerana bertanding di kawasan Parlimen Nibong Tebal yang mana pengundi Melayu hanya 44 peratus dan pengundi bukan Melayu pula 56 peratus.

"Namun begitu beliau masih memperoleh 75 peratus sokongan pengundi Melayu di sana," katanya lagi.

Pada PRU lalu, Umno negeri bawah pimpinan Zainal ujarnya berjaya mengekalkan jumlah kerusi yang dimenangi semasa PRU ke-12 ketika bawah pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Dakwaan Datuk Khairuddin yang mengatakan pimpinan Umno di Pulau Pinang 'tidur' adalah jauh tersasar.

"Beliau tidak menetap di Pulau Pinang, jelas sekali beliau tidak tahu atau out of touch (hilang sentuhan) dengan apa yang berlaku di Pulau Pinang," kata Mohd Noor.

Lihat Komen
ADS