Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Midamar Corp tak dibenar eksport daging ke M'sia
Diterbitkan:  Dec 18, 2014 3:30 PM
Dikemaskini: 7:34 AM

Syarikat pembekal daging lembu dari Amerika Syarikat, Midamar Corporation, yang dilaporkan didakwa menipu selepas tidak mematuhi piawaian syariah dalam proses penyembelihan, tidak mempunyai kebenaran mengeksport daging ke Malaysia.

Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Hakimah Mohd Yusoff berkata syarikat itu tidak mendapat kebenaran mengeksport kerana loji pemprosesannya tidak termasuk dalam senarai loji yang diluluskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (JPV).

"Hanya loji-loji yang telah diluluskan dan disenaraikan oleh JPV sahaja yang boleh mengeksport produk mereka ke Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, katanya, kes berkenaan hanya berlaku di luar negara.

"Masyarakat dinasihatkan agar tidak khuatir dengan status halal produk import yang dibawa masuk ke Malaysia kerana produk-produk ini sentiasa dikawal ketat di pintu-pintu masuk negara oleh agensi penguatkuasa yang berkaitan,” katanya.

Menurut laporan media asing yang disiarkan akhbar tempatan semalam, Midamar Corp dan dua pengarahnya iaitu dua adik-beradik, Jalel dan Yahya Aossey dituduh bersubahat untuk membuat atau menggunakan kenyataan dan dokumen palsu, menjual jenama daging yang salah serta membuat tuntutan ganti rugi palsu.

Laporan itu menyebut turut didakwa ialah sebuah pertubuhan yang diusahakan kedua-dua mereka, iaitu Islamic Services of America (ISA), salah satu organisasi yang mendapat kelulusan untuk mengeksport produk mereka ke Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, Kuwait dan Malaysia.

Namun, Midamar Corp yang berpangkalan di Iowa dilaporkan menafikan dakwaan mereka menjual daging lembu bernilai US$4.9 juta (RM17.01 juta) kepada pelanggan di Malaysia, Kuwait, UAE dan beberapa buah negara lain tanpa mematuhi prosedur halal yang terdapat pada label dan iklan yang dikeluarkan.

Hakimah berkata walaupun ISA merupakan salah sebuah Badan Pensijilan Halal Luar Negara yang diiktiraf oleh Jakim namun ia tidak bermaksud kebenaran secara automatik diberikan kepada pengeksportan daging dan produk berasaskan haiwan yang telah diberi pensijilan oleh badan berkenaan.

"Malaysia mempunyai peraturan tertentu bagi pengimportan daging dan produk berasaskan daging iaitu semua loji penyembelihan dan pemprosesan diwajibkan melalui pemeriksaan halal berdasarkan standard Halal Malaysia dan Protokol Pengeluaran Daging Halal Malaysia oleh Jakim selain pemeriksaan sanitasi oleh JPV di loji-loji penyembelihan dan pemprosesan di luar negara," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS