Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kumpulan NGO PERKASA menggunakan peluang dalam siri demonstrasi anjurannya hari ini untuk menghamburkan kata-kata nista pada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Tindakan itu ekoran kenyataannya bahawa orang bukan Islam di negeri itu boleh menggunakan kalimah “Allah”

Dalam demonstrasi di Perak, kumpulan anggota PERKASA turut menyerang seorang ADUN dan menurunkan satu kain rentang ucapan sambutan Krismas dan Tahun Baru.

Di Pulau Pinang pula, demonstrasi di luar pejabat kerajaan negeri itu dipimpin oleh ketua Pemuda PERKASA negeri, Mohd Rizuad Mohd Azudin.

Beliau berkata Lim patut ditangkap dan memberi amaran kepada ketua menteri itu agar tidak masuk campur dalam hal ehwal agama Islam.

"Saya mahu beritahu dia (Lim) yang dia bukan babi suci. Dia seekor babi hutan dan patut disingkirkan dari Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita.

Tambahnya, kalimah “Allah” adalah hak orang Islam dan Lim tidak patut menyalahgunakan kedudukan sebagai ketua menteri untuk masuk campur dalam hal ehwal Islam.

"Polis patut siasat dan tangkap dia. Jika polis enggan berbuat apa-apa dan jika ini menyebabkan berlaku perkara tak diingini polis juga harus bertanggungjawab,” katanya.

Rizuad turut menyelar exco hal ehwal agama Islam, Datuk Abdul Malik Abul Kassin kerana menyokong kenyataan Lim.

“(Malik) berani membuat provokasi tetapi takut berdepan dengan orang Islam di Pulau Pinang. Dia sebenarnya pondan.

"Dengan menyokong kenyataan Lim, beliau tidak lagi layak memegang portfolio itu.

"Dia harus ingat bahawa orang Islam menyumbang kepada kejayaannya di (DUN) Batu Maung, dia patut menghargai dan tidak menghinanya,” katanya.

Peserta protes itu turut membawa sepanduk dalam bahasa Inggeris yang berbunyi "Allah just for Muslims, Fight No Fear".

 

Semalam, Lim berkata kerajaan negeri tidak akan memansuhkan Seksyen 5 Enakmen Jenayah Syariah Pulau Pinang atau mana-mana enakmen yang lain, kerana ia tidak terikat kepada bukan Islam.

"Malah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 turut menyokong kenyataan saya, di mana Seksyen 49(1) Enakmen terbabit menyatakan bahawa sesuatu fatwa adalah mengikat ke atas setiap orang Islam di dalam negeri…, tanpa menyebut orang bukan Islam, jelas mengehadkannya kepada orang Islam sahaja," kata Lim.

 
 

Lihat Komen
ADS