Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Jumlah mangsa banjir di Terengganu dan Pahang meningkat setakat 9 malam ini berbanding petang tadi manakala jumlah mangsa banjir di lapan jajahan di Kelantan berkurangan.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 5,918 orang malam ini, berbanding 5,152 orang pada sebelah petang tadi.

Menurut laporan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, jumlah mangsa di Kuala Terengganu meningkat kepada 1,020 manakala di Dungun mencatatkan seramai 2,459 orang, Kemaman (1,596), Hulu Terengganu (599), Besut (186), Marang (36) dan Setiu (22), melibatkan keseluruhan 1,150 keluarga.

Setakat ini, sebanyak 58 pusat pemindahan dibuka iaitu 19 di Dungun, Kemaman (17), Hulu Terengganu (sembilan), Kuala Terengganu (enam), Besut (empat), Setiu (dua) dan Marang (satu).

Keadaan cuaca di seluruh Terengganu kini hujan lebat dengan sekali-sekala berangin.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir di daerah Kuantan meningkat kepada 833 orang daripada 224 keluarga berbanding 657 orang daripada 182 keluarga petang tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan berkata, dua lagi pusat pemindahan banjir dibuka 7 malam ini iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Gudang Rasau yang menempatkan lima orang daripada dua keluarga dan Balai Raya Kampung Pahang menempatkan 12 orang juga daripada dua keluarga.

Sementara 11 lagi pusat pemindahan sedia ada ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan yang menempatkan 427 mangsa banjir daripada 116 keluarga, Balai Polis Sungai Lembing (80 orang daripada 24 keluarga), Sekolah Kebangsaan (SK) Cherating (68 orang daripada 17 keluarga), Dewan Orang Ramai Seri Damai (59 orang dariapada 16 keluarga).

Dewan Perumahan Awam Kos Rendah Panching (54 orang daripada 15 keluarga), Wisma Belia Indera Mahkota (38 orang daripada lapan keluarga), Balai Raya Kampung Chendor (27 orang daripada tujuh keluarga), SK Sungai Ular (24 orang daripada enam keluarga), Dewan Orang Ramai Kampung Semangat (18 orang daripada enam keluarga), Balai Raya Kamung Sungai Soi (14 orang daripada tiga keluarga) dan SK Kempadang (tujuh orang daripada dua keluarga)," katanya.

Menurut jurucakap itu, dua jalan utama iaitu di Km16, Jalan Kuantan-Sungai Lembing dan Jalan Bandar Sungai Lembing ditutup kepada semua kenderaan.

Hujan sederhana kadang kala lebat di daerah Kuantan, Jerantut, Maran, Pekan dan Rompin dijangka berterusan sehingga esok.

Menurut laman Facebook Jabatan Perparitan dan Saliran Daerah Kuantan, paras air di Sungai Kuantan dekat Bukit Rangin telah meningkat kepada 3.79 meter yang melepasi paras bahaya 3.5 meter manakala bacaan di tiga lagi tempat berada paras amaran iaitu Sungai Kuantan di Pasir Kemudi 7.07 meter, Sungai Belat di Jambatan Gambang 4.03 meter dan Sungai Belat di Seri Damai 4.79 meter.

Trend peningkatan paras air sungai utama ialah 0.1 meter dalam tempoh satu jam dengan air laut sedang pasang tinggi 3.5 meter malam ini.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir di lapan jajahan terus berkurang daripada 16,125 orang petang tadi, kepada 16,081 orang pada malam ini manakala semua pusat pemindahan banjir di Kota Baharu telah ditutup.

Menurut portal banjir kerajaan negeri, jajahan Gua Musang dan Jeli menjadi kawasan terbaharu terjejas banjir akibat hujan lebat sepanjang hari membabitkan seramai 179 mangsa banjir di enam pusat pemindahan di Jeli dan  160 orang berada di sebuah pusat pemindahan di Gua Musang.

Jumlah mangsa banjir di Pasir Mas kekal seramai 10,575 orang ditempatkan di 32 pusat pemindahan manakala di Tumpat berkurangan kepada 3,956 orang di tujuh pusat pemindahan.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Kuala Krai meningkat kepada 495 orang ditempatkan di tujuh pusat pemindahan, Pasir Puteh (556 orang/empat pusat), Tanah Merah (141 orang/dua pusat) dan Machang (19 orang/satu pusat).

Bacaan paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang masih berada pada tahap bahaya, manakala bacaan di empat tempat di tiga sungai utama di negeri ini kembali meningkat mendadak melepasi paras bahaya.

Empat tempat itu ialah Sungai Galas di Dabong, Gua Musang dengan bacaan 39.27 meter (paras bahaya 38 meter), Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai 37.96 meter (paras bahaya 35 meter), Sungai Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krai 27.27 meter (paras bahaya 25 meter) dan Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah 16.39 meter (paras bahaya 16.00 meter).

Sementara paras air di Sungai Golok kini mencatat bacaan 10.42 meter melepasi paras bahaya 9 meter.

Sehingga kini, jumlah kematian akibat banjir di Kelantan sejak 16 Disember lepas kekal empat orang.

- Bernama

Lihat Komen
ADS