Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ibu sarat mengandung redah arus selamatkan diri
Diterbitkan:  Dec 23, 2014 6:00 AM
Dikemaskini: 10:03 PM

Seorang wanita sarat mengandung nekad mengharungi banjir bersama anaknya selepas rumahnya di Kampung Kedap, Rantau Panjang dinaiki air pada Khamis lepas.
    
Menceritakan kembali detik-detik cemas, Norasmawati Wahab, 27, berkata beliau tidak mempunyai pilihan lain selain mengharung banjir paras paha untuk ke  kawasan yang lebih selamat sambil mendukung anaknya Mohd Danish Ashraf Mizi yang berusia dua tahun. 
    
Tidak lama selepas itu, beliau dan anaknya dapat menumpang sebuah perahu orang awam yang kebetulan lalu di situ sehingga ke jalan raya. 
    
Dari situ beliau terus meredah air di jalan raya kira-kira satu kilometer sambil mendukung anaknya, katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat  pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi di Pasir Mas semalam.
 
Norasmawati berkata semasa kejadian suaminya Mizi Abdul Rahman, 32, bekerja di luar Kelantan dan tidak dapat pulang.
    
"Memang ini pengalaman paling menakutkan. Saya takut apa-apa terjadi kepada kandungan saya kerana saya memang dah sarat masa itu, dan ada satu ketika kaki  saya kejang. 
    
"Alhamdulilah, saya selamat... ketika saya tiba di pusat pemindahan SK Rantau Panjang 2, anggota bomba kemudian memindahkan saya ke SK Gual Tinggi untuk  mendapat rawatan," katanya. 
 
Selepas empat hari berada di pusat pemindahan, Norasmawati melahirkan anak keduanya - bayi lelaki seberat 3.3kg pada pukul 11 malam semalam (21 Disember), di Hospital Lati di Pasir Mas.    
    
Beliau, yang menyifatkan banjir kali ini paling buruk, berterima kasih dengan orang-orang yang banyak membantunya.
    
Norasmawati kini berpantang di Pusat Pemindahan SK Gual Tinggi.  
 
- Bernama

Lihat Komen
ADS