Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas editor kanan kritik ranking kebebasan media

Bekas Ketua Pengarang Bernama Datuk Seri Azman Ujang percaya pemantau kebebasan akhbar yang berpangkalan di Paris Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) terperangkap dalam “kaedah lama” dalam mengukur tahap kebebasan media.

Katanya, perkara itu barangkali menjadi sebab kenapa kedudukan Malaysia berada bawah negara seperti Myanmar dan Kemboja.

Dalam forum berkaitan “Kebebasan Bersuara: Peranan Media” malam tadi, beliau berhujah bahawa landskap media di negara itu berubah agak dramatik dalam beberapa tahun terakhir ini.

“Saya tidak fikir Myanmar ada Malaysiakini or The Malaysian Insider .

“Apa yang mereka tidak tulis? Semuanya mereka tulis.

“Tetapi Malaysia masih berada di kedudukan lebih rendah daripada Myanmar dan Kemboja,” katanya dalam forum di Kuala Lumpur semalam.

Dalam Indeks Kebebasan Media 2014, Malaysia berada di kedudukan ke-147 di belakang Kemboja (144) dan Myanmar (145), menurut tinjauan tahunan RSF.

Azman juga berkata, Malaysiakini hari ini diketahui meluas dan boleh dikatakan sudah menjadi media arus perdana.

“Semua orang di mana-mana saja boleh baca Malaysiakini sedangkan The Sun hanya boleh dibaca di Lembah Klang,” katanya yang juga kolumnis di The Sun.

Beliau juga berkata kepada seorang lagi ahli panel Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini Steven Gan kenapa portal berita itu mahukan permit penerbitan.

Hak terbitkan akhbar

Gan menjejaskan, Malaysiakini mahu memastikan kandungannya boleh dibaca semua rakyat Malaysia, bukan hanya pihak yang mempunyai kemudahan Internet.

“Kami juga mahu kerajaan menerima bahawa semua organisasi media mempunyai hak untuk menerbitkan,” kata Gan.

Kerajaan pada bulan lalu, untuk kali kedua, menolak permohonan permit akhbar harian yang dipohon Malaysiakini , walaupun mahkamah memutuskan Malaysiakini mempunyai hak menerbitkan akhbar.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan alasan bagi mengelakkan penerbitan yang “boleh menimbulkan kegusaran dan menggemparkan fikiran orang ramai”, “menimbulkan isu sensitif” dan “mungkin menimbulkan kebencian terhadap pemimpin negara”.

Sementara itu, Gan yang juga pengasas bersama Malaysiakini , berkata percambahan kandungan berita di Internet menyebabkan pembaca terpaksa memilih.

“Bukan lagi bergantung pada wartawan atau editor, pembaca hari ini juga terpaksa bekerja keras untuk menentukan yang mana berita yang betul, atau versi yang lebih dekat dengan kebenaran,” katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS