Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Krismas disambut sederhana di seluruh negara
Diterbitkan:  Dec 25, 2014 6:43 PM
Dikemaskini: 10:43 AM

Penganut Kristian di seluruh negara menyambut Hari Krismas hari ini secara sederhana, sesetengahnya terpaksa berdepan dengan cabaran hujan dan banjir yang melanda banyak negeri di Malaysia.

    

Seorang paderi dari City Revival Church, Reverend Suresh Sundram berkata pihaknya yang mempunyai cawangan di Kota Baharu, Kelantan, meneruskan penganjuran upacara sembahyang di gereja malam tadi dan hari ini walaupun cuaca tidak begitu baik.

    

"Walaupun banjir melanda beberapa kawasan di negeri Kelantan, rata-rata penganut beragama Kristian di kawasan bandar di sana yang tidak begitu terjejas masih pergi ke gereja untuk menyambut Krismas," katanya kepada Bernama hari ini.

    

Suresh berkata penganut Kristian tidak diwajibkan datang ke gereja untuk upacara sembahyang dan menyambut Krismas kerana mereka boleh melakukannya di rumah masing-masing serta mengadakan 'rumah terbuka' untuk anggota keluarga, saudara-mara dan sahabat handai sambil bertukar-tukar hadiah.

    

Cuaca hujan berterusan dan kejadian banjir yang melanda menjadi antara faktor penganut Kristian menyambut Krismas secara sederhana tahun ini, katanya.

    

Di MELAKA, cuaca mendung tidak menghalang sambutan Krismas terutama bagi masyarakat Portugis di Kampung Portugis di Bandar Hilir dan Ujung Pasir.

    

Upacara keagamaan diadakan bermula petang semalam hingga pagi ini yang turut dihadiri pelancong asing.

    

Sementara itu, kawasan pelancongan di Bandar Hilir dan Ayer Keroh turut menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

    

Di NEGERI SEMBILAN, beberapa gereja sekitar bandar ini - Visitation Church, Agape Cummunity Church, Methodist Church dan Wesley Church - di Seremban menjadi tumpuan penganut Kristian.

   

Menurut Philip Aloysius, 67, beliau akan ke rumah anak perempuannya di Skudai, Johor untuk meraikan Krismas di sana.

    

Di PULAU PINANG, keadaan cuaca yang baik selepas hampir seminggu hujan membolehkan penganut Kristian menyambut Krismas dalam suasana agak selesa.

    

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow berkata majlis rumah terbuka Krismas peringkat negeri diadakan 14 Dis lepas kerana sedar orang ramai mungkin mempunyai pelbagai aktiviti lain di hujung tahun.

    

Di SARAWAK, Krismas disambut meriah dengan penganjuran beberapa majlis rumah terbuka pemimpin negeri yang dihadiri masyarakat pelbagai kaum dan agama.

    

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem bersama 2,000 penduduk hadir memeriahkan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Masyarakat Lundu sempena Perayaan Krismas 2014 Daerah Lundu, sebuah kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu.

    

Sambutan Krismas kali ini amat bermakna buat penganut Kristian di kawasan tersebut selepas Adenan, yang juga Adun Tanjung Datu, menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri Sarawak hujung Februari lepas.

    

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu, yang juga Adun Layar, tidak ketinggalan mengadakan rumah terbuka Krismas di Dewan Tan Sri Kalong di Betong.

    

DI SABAH, Krismas disambut meriah dengan penganjuran rumah terbuka pemimpin negeri, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Murut (KDCA), di Penampang.

    

Lebih 5,000 orang memeriahkan majlis rumah terbuka PBS yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau, dan Air Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili dan beberapa barisan menteri kabinet negeri.

    

Tinjauan Bernama mendapati penduduk daerah itu menjalankan rutin seharian seperti biasa dan penganut Kristian meraikan perayaan Krismas dengan mengadakan amalan rumah terbuka bagi mengeratkan hubungan sesama kaum.

    

Di PAHANG, Rev Wee Cho Heng dari Chinese Methodist Church di Kuantan berkata walaupun jumlah penganut Kristian tidak ramai datang ke gereja malam tadi dan pagi ini kerana faktor cuaca, Krismas tetap disambut meriah.

    

"Penganut Kristian boleh meraikannya di rumah dengan pelbagai aktiviti keagamaan antaranya nyanyian karol, susulan kesukaran melakukan perjalanan kerana kebanyakan kawasan dilanda banjir," katanya.

    

Di TERENGGANU, Ketua Gereja Baptist Kuala Terengganu, Wrutheran Sinnadurai berkata di sebalik sambutan Krismas, pihak gereja turut melakukan kerja kebajikan dengan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini tanpa mengira agama dan kaum.

    

Trend sambutan krismas secera sederhana turut di lihat di JOHOR, dengan penganut Kristian dilihat mengunjungi gereja di sekitar Johor Baharu seawal 8.30 pagi.

    

Sementara itu, orang ramai pula dilihat mengambil kesempatan mengunjungi tempat-tempat menarik sempena cuti Krismas seperti zoo negeri dan kompleks beli-belah bagi menghabiskan minggu terakhir cuti persekolahan.

   

Di KUALA LUMPUR, tinjauan Bernama mendapati Hari Krismas disambut meriah dengan kebanyakan warga asing dan pelancong membanjiri pusat beli belah di sekitar ibu negara.

    

Kebanyakan pelancong mengambil peluang bergambar bersama replika 'Santa Claus' dan pokok Krismas yang dihias penuh warna warni di beberapa pusat tumpuan membeli belah sekitar ibu negara.

    

Turut menjadi tumpuan, Menara Kembar Petronas yang sentiasa menjadi lokasi utama kunjungan pelancong ketika hari cuti.

    

Bagi seorang pelancong dari Mexico, Maly Lia, 47, sambutan hari Krismas di Malaysia amat bermakna baginya apabila dapat menyambut bersama suami dan tiga anaknya.

    

"Saya gembira menyambut Krismas di sini, ia amat meriah dan detik-detik yang tidak dapat dilupakan, dengan kombinasi hiasan berwarna warni. Saya harap dapat berkunjung lagi di sini pada masa akan datang," katanya.

    

Seorang warga Filipina, Augusto Uy, 28, yang sudah tiga tahun bekerja di sini berkata, Krismas kali ini disambut bersama rakan-rakannya.

    

"Saya baru balik dari gereja... dan sekarang saya bercadang untuk berjalan-jalan di sekitar bandar raya ini bersama kawan-kawan saya," katanya.

    

Pada masa yang sama, Uy turut berharap agar rakyat Malaysia tabah menghadapi musibah banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini.

    

- Bernama

Lihat Komen
ADS