Muhyiddin: Jangan risau, saya uruskan banjir

       

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa orang ramai agar mempercayai beliau untuk menguruskan krisis banjir ketika perdana menteri bercuti di luar negara.

Beliau berkata demikian sewaktu ditanya tentang tentang penyebaran gambar Najib bercuti di Hawaii dan dilihat bermain golf bersama Presiden US, Barack Obama.

"PM sudah bekerja keras. Berlaku adillah pada beliau. Beliau juga manusia.

"Saya bertanggungjawab, jangan risau. Percayalah pada saya," kata Muhyiddin yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara .

Beliau berkata demikian dalam sidang media di gereja Full Gospel Tabernacle di Subang Jaya hari ini selepas menyampaikan perutusan Hari Krismas sebelumnya.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya 90,250 orang terpaksa dipindahkan akibat banjir di Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak dan Perlis - jumlah terbanyak dalam sejarah negara.

Muhyiddin juga berkata "tidak perlu" untuk Najib pulang cepat kerana krisis banjir itu.

 

"Jika saya tidak boleh lakukan tugas itu, barulah saya akan panggil beliau balik," katanya.

 

Sementara itu, Muhyiddin juga berkata tidak ada keperluan untuk mengisytiharkan darurat ekoran banjir besar tersebut.

Katanya, terdapat kriteria yang berbeza sebelum mengisytiharkan darurat, contohnya, bekalan elektrik dan air putus sepenuhnya.

Beliau berkata mangsa banjir tidak peduli sama ada darurat diisytiharkan.

 

"Mereka hanya mahu diselamatkan, dan kami akan memberi tumpuan kepada usaha itu," katanya.

[Baca berita penuh/asal]

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda