Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meminta penganjur perhimpunan membantah harga petrol pada ambang malam Tahun Baru supaya membantu mangsa banjir, daripada mengadakan protes tersebut.

"Saya fikir mereka boleh turun padang dan membantu rakyat yang menderita. Itu lebih produktif dan berfaedah," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin juga berikrar bahawa kerajaan bersedia untuk mengerahkan semua aset yang ada untuk menangani krisis banjir.

Beliau menyifatkan keadaan sebagai "agak buruk" berbanding dengan banjir pada tahun-tahun sebelumnya.

Kira-kira 90,250 orang dipindahkan kerana banjir di Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak dan Perlis - jumlah tertinggi dalam sejarah.

Jika perlu, Muhyiddin berkata, kerajaan juga akan menggerakkan aset daripada pihak swasta untuk membantu dengan keadaan.

Sementara itu, Bernama melaporkan Muhyiddib berkata kerajaan akan menambah bilangan anggota penyelamat dan menggerakkan lebih banyak aset ke negeri-negeri dilanda banjir bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap, selain mempercepatkan penyaluran bantuan bekalan yang diperlukan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, pada masa ini semua agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia yang mempunyai aset sesuai seperti bot dan helikopter telah bersiap sedia, selain agensi kerajaan yang lain.

"Di samping itu kita memastikan juga bekalan barangan keperluan yang biasa kita bekalkan untuk mangsa banjir ditambah kerana berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia mengenai keadaan cuaca, memerlukan kita mengambil langkah-langkah tambahan.

"Ini sedang pun dilakukan oleh agensi-agensi yang bertanggungjawab seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dari segi bekalan barangan keperluan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis jamuan Krismas anjuran Persekutuan Kristian Malaysia di Subang Jaya, hari ini.

Katanya, beliau akan mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 27 Disember ini bagi membincangkan perkara itu dan mendapatkan lebih banyak maklumat tentang bagaimana semua aset tambahan tersebut dapat digerakkan.

Katanya, jika semua aset yang digerakkan tidak memadai atau tidak mencukupi untuk membantu menyelamatkan mangsa-mangsa banjir, kerajaan tidak keberatan menggunakan kemudahan sama daripada pihak swasta, walaupun mungkin melibatkan perbelanjaan.

"Jadi kita beri jaminan kita akan guna segala apa yang kita perlu untuk mengurangkan beban rakyat, walaupun ia akan melibatkan perbelanjaan namun yang penting ialah nyawa rakyat kita mestilah diselamatkan," katanya.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, pasukan penyelamat kini berdepan cabaran sukar untuk membantu mangsa-mangsa banjir apabila berhadapan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu yang sekali gus menyulitkan operasi.

Katanya, ada di sesetengah kawasan, pasukan penyelamat tidak dapat menyelamatkan mangsa banjir yang terperangkap walaupun menggunakan aset helikopter atas faktor cuaca dan terpaksa menunggu cuaca baik untuk berbuat demikian.

"Begitu juga hospital yang sudah menjadi pusat pemindahan ... ini menambah beban pihak pengurusan hospital, selain itu ada juga keperluan untuk kita memindah pesakit-pesakit ke hospital-hospital lain seperti di Kota Baharu. Jadi ini memerlukan logistik yang lebih besar tetapi hal ini bergantung kepada keadaan cuaca dan ia perlu kita tangani secara bijaksana," katanya.

Justeru Muhyiddin meminta semua mangsa banjir yang masih mengharapkan bantuan agar bersabar kerana pasukan penyelamat dan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) sentiasa berusaha mencari jalan terbaik membantu mereka.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang akan ke Kelantan esok bagi melihat sendiri situasi banjir di sana, berkata pada waktu ini keadaan banjir di negeri itu belum sampai pada tahap perlu diisytiharkan darurat.

Katanya, darurat hanya boleh diisytiharkan jika berlaku keadaan yang meruncingkan seperti bekalan elektrik dan air teputus sepenuhnya atau jumlah mangsa banjir yang dpindahkan mencecah ratusan ribu.

"Tapi yang penting bukan isytihar darurat atau tidak, kerana apa (yang) perlu kita buat ialah menyelamatkan mangsa dan ini memang kita sedang buat. Jadi jangan bimbang sangat isytihar atau tidak kerana bagi mereka yang menjadi mangsa banjir, mereka tidak penting isytihar atau tidak, tetapi (yang penting) untuk menyelamatkan nyawa mereka," katanya.

Beliau turut menafikan tuduhan bahawa kerajaan tidak melakukan persediaan bagi menghadapi bencana alam itu yang menurut beliau telah dilakukan mengikut kemampuan dan pengalaman sebelum ini.

"Tetapi ada benda yang kita tidak tahu (akan berlaku). Sebab itu kita terpaksa uruskan benda-benda yang timbul di peringkat akhir... jadi hal-hal sebegini kita kena faham dan yang penting kita ambil tindakan sewajarnya untuk pastikan nyawa rakyat selamat," kata Muhyiddin.

Timbalan perdana menteri turut meminta semua pihak tidak menyebarkan maklumat atau berita yang tidak tepat mengenai situasi banjir atau mangsa banjir yang boleh menimbulkan ketegangan dan keadaan panik dalam kalangan rakyat.

Katanya, tindakan tersebut hanya akan memburukkan keadaan dan menyukarkan operasi menyelamat kerana pihak bertanggungjawab terpaksa bertindak atas maklumat-maklumat yang tepat.

"Saya mahu berikan jaminan bahawa mereka (pasuskan menyelamat) akan berikan tumpuan yang sepenuhnya untuk menyelamatkan setiap nyawa yang terlibat dalam banjir ini. Sebab itu kita mahu mengelakkan berita yang boleh menambah kesusahan dan kepayahan," katanya.

Lihat Komen
ADS