Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Banjir: Ahli PAS S'gor digesa solat hajat
Diterbitkan:  Dec 26, 2014 8:00 AM
Dikemaskini: 12:10 AM

PAS Selangor mengarahkan semua ahlinya di negeri itu menunaikan solat hajat mendoakan keselamatan mereka yang terlibat dengan banjir besar yang sedang melanda negara.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, ahli PAS dan umat Islam diharap dapat mengerjakan solat hajat sama ada bersendirian atau berjemaah di markas, pejabat PAS atau di tempat-tempat yang sesuai.

Beliau meminta mereka berdoa memohon Allah SWT melindungi bukan sahaja mangsa-mangsa banjir tetapi mereka yang bertungkus menyelamat dan membantu mereka.

Katanya, memandangkan hari ini merupakan hari Jumaat yang penuh keberkatan, maka gunakan peluang tersebut untuk bermunajat kepada Allah SWT.

"Marilah kita sama-sama berdoa agar kita semua diberikan ketabahan serta kesabaran menghadapi ujian dari Allah SWT ini dan dipermudahkan segala urusan," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, katanya, PAS Selangor masih menerima sumbangan bahan makanan dan kelengkapan untuk disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur dan utara.

"Setakat ini konvoi PAS Selangor telah bertolak empat kali yang melibatkan lebih 27 kenderaan pacuan 4 roda dan 9 lori muatan tiga hingga 10 tan membawa bantuan kepada mangsa banjir.

"Lebih 130 petugas PAS Selangor telah dihantar betugas secara bergilir-gilir sejak 20 Disember 2014.

"Bilangan ini tidak termasuk kenderaan dan petugas yang dihantar secara berasingan oleh PAS Kawasan," tambah Iskandar.

Mereka yang ingin menyumbang kepada mangsa banjir boleh datang ke Pusat Pengumpulan PAS Selangor beralamat  di Dewan Merbau, Jalan Senangin 17/2, Seksyen 17, Shah Alam atau menghubungi En. Rayme Abd Rahman 018 664 5036.

Lihat Komen
ADS