Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mangsa banjir gusar ATM habis wang
Diterbitkan:  Dec 26, 2014 8:47 AM
Dikemaskini: 12:51 AM

Pemotongan bekalan air dan elektrik di beberapa kawasan di negeri paling teruk terjejas, Kelantan, mencetuskan kebimbangan di kalangan mangsa banjir mengenai kehabisan bekalan.

Penduduk di beberapa tempat di Pasir Mas memberitahu Malaysiakini , mereka tidak lagi mendapat bekalan air atau elektrik, manakala mesin juruwang automatik (ATM) kehabisan wang tunai.

Yang lainnya pula berkata catuan makanan mereka hampir habis dengan jalan-jalan utama tidak boleh dilalui walaupun untuk menyelamatkan kenderaan disebabkan arus banjir yang kuat.

Astro Awani melaporkan bahawa beberapa penduduk di Manek Urai dan Dabong terpaksa berlapar kerana mereka telah terputus hubungan.

Pada malam Rabu, anggota penyelamat tentera memindahkan 400 orang yang terkandas selama lima hari di tingkat tiga SK Manek Urai Lama, Kuala Krai.

Mereka diselamatkan oleh dua bot tentera  yang tiba membawa makanan dan keperluan harian.

Mangsa yang terperangkap di 28 lokasi termasuk kawasan bukit, sekolah dan masjid di Kuala Krai, dengan pekerja penyelamat berusaha untuk sampai ke tempat mereka, kata pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed kepada Bernama.

Rahana Awang, 42, yang terperangkap di SK Manek Urai Lama berkata air banjir sampai ke tingkat tiga di mana mereka berlindung apabila pekerja penyelamat akhirnya sampai ke situ.

Malam tadi sahaja, katanya,mereka nampak lapan rumah dihanyutkan, katanya kepada Bernama.

Lebih daripada 90,000 telah dipindahkan akibat banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis dan Perak.

Sekurang-kurangnya 30,000 orang dipindahkan dari rumah di Kelantan, tetapi Channel News Asia melaporkan ramai enggan berpindah kerana bimbangkan rumah mereka dipecah masuk.

Pemangku Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata darurat tidak akan isytiharkan kerana usaha menyelamat sedang dijalankan.

Perdana Menteri Najib Abdul Razak sedang bercuti di Hawaii, tetapi berkata beliau akan mengikuti perkembangan keadaan melalui panggilan telefon kepada Muhyiddin.

[Baca berita penuh/asal]

 

Lihat Komen
ADS