Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jumlah mangsa di K'tan cecah 45,467
Diterbitkan:  Dec 26, 2014 10:33 AM
Dikemaskini: Dec 27, 2014 2:05 AM

BLOG LANGSUNG BANJIR Malaysiakini membawa maklumat terkini mengenai keadaan banjir yang berlaku.


 
7.52pm: Jet peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib  Razak yang didaftarkan dengan nombor 9M-NAA, mendarat di Indianapolis, Indiana, dari Los Angeles pada 6.52 petang waktu Malaysia.

Ia berdasarkan maklumat di laman penjejak penerbangan FlightRadar24.

Pesawat tersebut mendarat di Los Angeles pada jam 1.40 petang waktu Malaysia di Honolulu, Hawaii, yang menjadi tempat percutian perdana menteri.

Perdana menteri bergegas pulang dan dijangka tiba di Kelantan esok untuk menyelia operasi menyelamat.

4.10pm: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) di Pantai Timur menyebut kesemua lapangan terbang yang dikendalikannnya di pantai timur masih beroperasi seperti biasa.

Ia melibatkan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu, Kelantan; Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah Kuantan, Pahang, dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu, Terengganu.

"MAHB sedang memantau keadaan dan akan membuat pengumuman jika keadaan berubah," kata firma tersebut dalam kenyataan, seperti dilaporkan Bernama

4.10pm: Pasukan tentera menumpukan usaha menghantar bekalan makanan dan bahan api kepada mangsa banjir yang terputus hubungan di Kuala Krai.

Laporan Bernama menyebut, ia melibatkan 1,000 liter minyak diesel untuk kegunaan hospital dan

bantuan makanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ia akan digugurkan melalui helikopter, kata Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed.

"Memandangkan helikopter yang menghantar bantuan tidak dapat membuat pendaratan di kawasan terjejas teruk, maka bantuan bekalan ini akan digugurkan dari udara," katanya seperti dipetik dalam laporan itu.

4.00pm: Sehingga jam 3 petang ini, mangsa banjir meningkat kepada  118,896. Di bawah pecahan ikut negeri:

 

NEGERI             25 DIS       26 DIS (PAGI)     3 PTG
------                ------         ----------------     -----
 
KELANTAN       34,955          32,139               45,467 
TERENGGANU   29,082         30,147               31,001
PAHANG          28,578          35,736               35,736
PERAK              5,512            5,530                 6,119
JOHOR              -                     201                    214
KEDAH                 76               157                      96   
PERLIS               263               263                    263
 
JUMLAH          98,466         104,173            118,896

3.30pm: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, beliau telah dihubungi pejabat pemimpin DAP, Lim Kit Siang untuk menyumbang kepada mangsa banjir Kelantan.

Selain itu, beliau turut dihubungi seorang dermawan pagi tadi, menawarkan helikopter untuk menghantar makanan ke kawasan terputus bekalan.

2.30pm: Sebanyak 10 stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Pantai Timur tidak dapat beroperasi akibat ditenggelami air banjir.

Pengerusi KTMB Datuk Nawawi Ahmad berkata, stesen yang terlibat ialah Chegar Perah, Merapoh, Gua Musang, Limau Kasturi, Bertam Baharu, Kemubu, Dabong, Bukit Abu, Manek Urai dan Krai.

"Disebabkan perkhidmatan intercity yang masih terganggu, para penumpang boleh menukar semula tarikh perjalanan atau pun mendapatkan pemulangan tambang penuh untuk perjalanan yang dibatalkan," katanya seperti dipetik dalam laporan Bernama .

1pm: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan keperluan aset air, udara dan darat dipertingkatkan dalam usaha membantu serta menyelamatkan mangsa banjir di Kelantan.

Muhyiddin berkata keperluan aset berkenaan masih tidak memadai setakat ini.

"Sebab itu saya telah beri arahan supaya aspek logistik dipertingkatkan lagi di mana aset seperti helikopter, bot tambahan akan diuruskan oleh MKN,” katanya seperti dipetik dalam laporan Bernama.

Muhyiddin melawat pusat pemindahan banjir di Pengkalan Chepa, Kelantan.

Jumlah terkini mangsa banjir setakat ini:

Negeri           26 Dis, 1pm

Kelantan          32,139

Terengganu      31,001

Pahang            35,736

Perak               6,119

Johor               214

Kedah              96   

Perlis               263

Jumlah        105,568

12.30pm: 

Johor mula dilanda banjir apabila 201 mangsa di Kluang dipindahkan pagi ini, lapor Bernama memetik MKN Johor.

12.15pm: Negeri di pantai barat Semenanjung yang belum dilanda banjir dijangka hanya akan mengalami banjir kilat sahaja ekoran keadaan hujan yang tidak berterusan. 
 
Pegawai Meteorologi Kanan, Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata ramalan itu dibuat berdasarkan pergerakan monsun timur laut.
 
"Bagi negeri di pantai barat (yang belum dilanda banjir) kami jangkakan buat masa ini hanya alami banjir kilat, sebab tempoh hujan tidak lama, sekejap-sekejap," katanya ketika dihubungi Bernama.

12.00pm:  Sembilan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Negeri Sembilan, bergerak ke Temerloh, Pahang, hari ini dengan sebuah lori lima tan dan sebuah bot bagi membantu para petugas dalam operasi menyelamat mangsa banjir. 
 
Timbalan Pengarah JPAM Negeri Sembilan Abdul Ba'ith Abdul Rahim berkata ini merupakan pasukan kedua selepas lapan anggota yang dihantar ke Kuala Lipis, Pahang pada Rabu lepas.

Kerajaan Selangor sumbang RM1 juta kepada  Kelantan dan masing-masing RM100,000 kepada Terengganu, Pahang dan Perak.
 
11.00am: Menteri Besar, Azmin Ali berkata, kerajaan negeri membatalkan semua acara hiburan dan program Temasya Selangor 15 menjelang Tahun Baru 2015. 
 
"Kerajaan Selangor mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam membatalkan program Jom Heboh anjuran TV3 yang dijadualkan pada 27 dan 28 Disember 2014 di I – City, Shah Alam atas prinsip yang sama.

9.35am: Jumlah mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak kini meningkat kepada 103,413 orang - meningkat sebanyak 9,395 mangsa dari malam tadi, demikian menurut tweet Bernama.

9.05am: PAS Selangor akan mengadakan solat hajat ekoran banjir besar melanda negara ini, terutama di pantai timur.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad (kiri) berkata konvoi lebih 130 anggota berlepas dalam empat kumpulan untuk Kelantan dan Terengganu.

Katanya, terdapat 27 kenderaan pacuan empat roda dan sembilan lori membawa tiga hingga 10 tan barangan keperluan untuk mangsa banjir.

Mereka yang ingin menyumbang kepada mangsa banjir boleh datang ke Pusat Pengumpulan PAS Selangor beralamat  di Dewan Merbau, Jalan Senangin 17/2, Seksyen 17, Shah Alam atau menghubungi En. Rayme Abd Rahman 018 664 5036.

8.50am: Di Kota Bahru malam tadi, Bernama melaporkan jambatan Petra Jambatan Sultan Yahya (di bawah) yang menghubungkan bandar Kota Baharu ke Pasir Pekan, Tumpat, kini ditutup kepada semua kenderaan selepas air di Sungai Kelantan melimpah naik.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Rohaimi Md Isa, ketika dihubungi, berkata jambatan itu ditutup kepada semua lalu lintas kerana keadaan itu berbahaya kepada pengguna jalan raya.

Laporan Bernama juga menyatakan bahawa air banjir dari Gua Musang dan Kuala Krai kini mengalir ke arah daerah Kota Baharu.

8.40am: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed mengakui terdapat kelemahan dalam mengurus dan menyelamatkan mangsa banjir di Kelantan.

Mustapa, juga anggota Parlimen Jeli, mengambil masa 10 jam dengan bot untuk perjalanan ke Kuala Krai, kawasan yang terjejas dengan mendalam akibat banjir.

Beliau menyifatkan banjir tahun ini sebagai besar berbanding tahun-tahun lalu dan berkata ini menyebabkan kelemahan kerajaan dalam menyelaras bantuan.

8.30am: Semalam, seorang doktor di sebuah klinik kerajaan di Badang memuatkan posting mengenai keadaan terdesak di kliniknya yang beliau dakwa terputus hubungan akibat banjir dan tidak mendapat apa-apa bekalan.

"Oh ya, saya ingin mengucapkan selamat bercuti kepada perdana menteri kita di Hawaii sementara cuti kami semua telah dibekukan dan berkorban nyawa demi rakyat tercinta.

8.00am: Malam tadi Bernama melaporkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menggantung operasi 1,606 pencawang stesen di seluruh Kelantan, Pahang dan Terengganu memandangkan banjir semakin teruk.

Lihat Komen
ADS