Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Puad Zarkashi mendakwa ditawarkan jawatan menteri besar Johor jika bersetuju menyertai Pakatan Rakyat pada tahun 2008.

Beliau berkata demikian sewaktu ditanya peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam kes saman RM100 juta oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mahkamah dalam perbicaraan pada 16 Disember lalu diberitahu yang Anwar bercakap dengan Puad menerusi telefon Dr Rahim Ghouse pada 19 September 2008 di Batu Pahat.

"Apa fahaman Datuk apabila dia (Anwar) kata siapa hendak jaga Johor (apabila kerajaan BN tumbang)?" tanya Shafee kepada Puad yang merupakan saksi ketujuh pembelaan.

"Saya faham ia tawaran jawatan. Jawatan untuk menteri besar Johor.

"Maka fahaman saya adalah jawatan menteri besar Johor," jawab Puad.

Puad yang pada masa itu adalah ahli Parlimen Batu Pahat bagaimanapun tidak menjelaskan kepada mahkamah cara beliau akan dilantik menjadi MB kerana jawatan itu perlu diisi seorang ADUN.

Menurut Puad, beliau dan Rahim Ghouse adalah kawan rapat yang kini jarang berhubung kerana Rahim sekarang menetap di Australia.

Menceritakan lanjut perbualannya dengan Anwar, Puad memberitahu mahkamah yang beliau pada awalnya terpaksa memberikan alasan mahu mengadakan solat istikharah sebelum membuat keputusan menandatangani perjanjian untuk melompat parti yang ditawarkan Anwar.

Ini kerana, Anwar kedengaran begitu meyakinkan sewaktu memaklumkan beliau yang Pakatan Rakyat sudah mempunyai bilangan ahli Parlimen BN yang bersedia melompat parti - dan hanya memerlukan seorang sahaja wakil dari MP Melayu Johor.

"Dia (Anwar) bercakap dengan nada yang tinggi (di dalam telefon), very convincing (begitu meyakinkan)," kata Puad.

Namun, selepas melakukan solat istikharah bagi memohon petunjuk, beliau mendapat mimpi agar tidak bersetuju dengan tawaran Anwar.

"Saya balik, sembahyang istikharah, saya dapat mimpi, saya dapat petunjuk (bahawa) apa-apa pun yang berlaku saya tak akan tandatangan.

"Kalau saya tandatangan, saya jual negara. Itu yang saya beritahu Rahim Ghouse keesokan hari," kata Puad.

Pesuruhjaya Kehakiman, Siti Khadijah S Hassan Badjenid menangguhkan perbicaraan dan ia akan bersambung semula pada jam 2.30 petang, 5 Januari 2015  dan jam 4 petang, 7 Januari 2015.

Lihat Komen
ADS