Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kota Bharu makin kritikal
Diterbitkan:  Dec 26, 2014 8:20 PM
Dikemaskini: 12:23 PM

Jumlah mangsa banjir di tujuh negeri kini mencecah 119,087 orang dengan Kelantan mencatat jumlah tertinggi iaitu 45,467 orang setakat petang ini.

Di Kelantan, limpahan air Sungai Kelantan menyebabkan jumlah mangsa di Kota Bharu naik mendadak iaitu seramai 13,388 orang kepada 14,586 orang petang ini berbanding 1,198 orang pagi tadi.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri,  Nik Omar Nik Abdul Rahman berkata limpahan air sungai itu telah merebak ke beberapa kampung berhampiran termasuk Kampung Lembah Sireh, Kampung Pintu Geng, Kampung Kedai Buloh, Kampung Banggol, dan kawasan sekitar Pengkalan Chepa.

Kesemua mangsa kini dipindahkan ke 40 pusat pemindahan berbanding hanya tujuh pagi tadi, katanya.

Kecuali di Pasir Mas yang menunjukkan sedikit penurunan dengan jumlah mangsa kini mencecah 6,319 orang, beberapa kawasan lain kebanyakannya tidak berubah termasuk di Tanah Merah (3,546 orang), Gua Musang (5,150 orang), Tumpat (5,005 orang), Machang (4,039 orang), Jeli (1,430 orang), Kuala Krai (5,200 orang) dan Pasir Puteh (192 orang).

Di Terengganu, jumlah mangsa terus meningkat kepada 34,884 petang ini berbanding 31,001 pada tengah hari.

Daerah Kemaman mencatat tambahan mangsa kepada 25,090 orang daripada 21,381 yang ditempatkan di 46 pusat penempatan, demikian menurut portal Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Terengganu.

Daerah Dungun turut menunjukkan peningkatan menjadikan jumlah mangsa  8,197 orang manakala Kuala Terengganu masih bertahan dengan 1,369 orang dan Hulu Terengganu (228 orang).

Bagaimanapun menurut portal itu,  bandar Kuala Terengganu masih dapat dihubungkan dengan Kuantan melalui beberapa lencongan dan jalan alternatif walaupun beberapa jalan utama masih dinaiki air dan hanya dibuka kepada

kenderaan berat.

"Bagi pengguna jalan raya yang hendak ke Kuantan dari Kuala Terengganu menggunakan jalan pesisir, mereka disaran melalui persimpangan Jalan Che Lijah di Dungun dan menggunakan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) Tol Dungun.

"Dari LPT2 Tol Dungun itu, pengguna boleh melaluinya sehingga susur keluar Tol Paka berikutan kawasan sekitar di Air Hitam sehingga Kampung Nyior di Dungun dinaiki air," menurut laporan itu.

MKN berkata pengguna jalan raya akan menggunakan kembali sebahagian laluan pantai di Kemaman sebelum sekali lagi masuk ke LPT2 susur keluar Tol Kijal untuk dihubungkan ke LPT1 ataupun Kuantan, manakala petang ini LPT Bukit Besi-Ajil telah dibuka semua kepada semua kenderaan.

Keadaan di PAHANG pula menyaksikan jumlah mangsa berkurangan kepada 32,380 orang berbanding 35,736 orang pada tengah hari.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, jumlah mangsa di Kuantan kini (16,691 orang), Jerantut (4,728 orang), Pekan (2,281 orang), Temerloh (2,823 orang), Maran (2,818 orang), Lipis (2,697 orang), Bera (310 orang) dan Rompin (32 orang).

    

Di Johor, jumlah mangsa meningkat kepada 537 orang daripada 130 keluarga di 10 pusat pemindahan berbanding 214 orang pada tengah hari.

- Bernama

Lihat Komen
ADS